Orang ramai hadir mendapatkan dos penggalak menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster peringkat DUN Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 16 Januari 2022. Foto PEJABAT DUN PANDAMARAN
AGENDANASIONAL

Kempen galakan pemberian vaksin bantu tingkatkan pengambilan dos penggalak

SHAH ALAM, 8 MAC: Pengambilan dos penggalak menunjukkan peningkatan selepas beberapa siri kempen galakan dianjurkan termasuk pemberian vaksin secara terus.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata lebih 50 peratus rakyat negara ini mengambil dos penggalak pertama berbanding 49.9 peratus setakat minggu lalu.

“Bagi dos penggalak kedua pula, daripada 1.9 peratus meningkat kepada 2.2 peratus dalam beberapa minggu lepas. Ini jumlah terkini pemberian dos penggalak, memang masih kurang memuaskan tetapi ada peningkatan selepas lakukan kempen galakan.

“Bagi kesan advers susulan imunisasi (AEFI), kita ada terima laporan susulan imunisasi secara berkala tetapi kejadian seperti dinyatakan (lumpuh dan bisu) tidak ada dicatat manakala tentang dos dilupuskan akan diberi dalam jawapan bertulis,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Hulu Terengganu Dato’ Rosol Wahid berhubung sambutan dos penggalak dan kesan pengambilannya kepada rakyat.

Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan trend jangkitan Covid-19 pada Januari 2023 dalam keadaan stabil iaitu kekal dalam lingkungan 500 kes dan mula menunjukkan penurunan kepada 226 kes semalam.

“Begitu juga purata bilangan harian kes Covid-19 dalam tempoh tujuh hari adalah julat 187 hingga 511 kes sepanjang Januari 2023. Sebagai langkah berterusan, kita galakkan penduduk mengambil dos penggalak antaranya membuat tempahan janji temu di aplikasi MySejahtera mengikut kesesuaian masa.

“Kita juga menawarkan vaksinasi secara terus, tanpa janji temu kepada golongan berisiko tinggi di semua pusat pemberian vaksin seluruh negara,” katanya.


Pengarang :