BUDAYARENCANA

Kenapa perlu takut reaksi kritikan karya?

Oleh Aliff Awan

Seorang penulis menghampiri saya yang tengah meniaga buku dan kata, “buku kau tak bagus,” jadi saya tanya kenapa. Dia belek buku lain, diam dan selepas setahun, saya masih belum tahu kenapa “buku aku tak bagus”. Akhirnya, saya tak dapat tahu sudut pandang ketiga dan pendapat penulis tersebut tentang Pada Malam Tak Boleh Tidur (Kata-Pilar Books, 2022).

Penulis yang sama juga pernah pertikaikan tentang kerja-kerja kritik yang menghampiri wafat, disiram air bunga dan dibacakan al-Fatihah. Tiap tahun, dia akan menjenguk isu sama macam menjenguk kubur sekali setahun waktu raya. Rupa-rupanya, ‘dia’ adalah penggiat sastera Malaysia.

Wahab Hamzah terang dalam kelasnya, lebih kurang gini: “Ulasan/reviu ni kita bagitahu watak, perwatakan, sinopsis. Tapi, kritikan kita pergi lebih dalam. Kita mengkritik. Kita keluarkan, korek selagi apa yang boleh.” Macam kita mempersoalkan jalan cerita, kegagalan memberi hiburan dan simbol yang dipaksa-paksa lepas habis menonton filem Roh (Kuman Pictures, 2019). Itu kritikan.

Sejak dari itu, saya mula jelas perbezaan ulas dan kritik. Sekurang-kurangnya, sekarang saya mengikuti mazhab Wahab Hamzah.

Sekalipun berada di mazhab pemahaman yang mana, kerja mengkritik perlu diperbanyakkan lagi. Sentiasa dan giat. Dengan rakaman. Baik ditulis atau dirakam menjadi audio siar, kalau tak larat nak tulis.

Macam audio siar KGB (boleh dengar di Spotify) yang mengkritik lagu-lagu indie Malaysia. Perbincangan kedai kopi yang katanya tidak sia-sia perlu dirakam (kemudian, sunting bahagian gosip dan kutuk-mengutuk) untuk siaran bersama.

Bersama. Ya, itu perkataan yang dicari. Kritikan ini kerja bersama. Bersama-sama untuk membuka satu ruang perbincangan tentang karya-karya penulis semasa terutamanya. Karya yang baru. Karya yang menunggu untuk hidup bukan kerana pengikut penulisnya saja. Tapi, karya yang masih mencari hidupnya untuk kenal salah, membuat kesilapan, lalu bertambah baik. Dan mungkin dingati?

Macam kenapa Jack Malik dan M. Emir perlu diberi perhatian? Adakah sebab keterbukaan mereka untuk terus teroka kebarangkalian yang boleh dimainkan dengan puisi?

Atau kenapa SaJakJakJack (Kata-Pilar Books; 2020) mungkin sukar untuk dirasai ramai? Adakah sebab hal-hal dalam sajaknya yang terlalu personal dan lebih dekat dengan Jack berbanding pembaca?

Mungkin juga kita boleh pertikaikan tentang tulisan-tulisan Naim al-Kalantani yang masih kurang suara dan identiti kepengarangannya? Apa satu tulisan Naim yang kita boleh bicarakan selain sikapnya yang lebih suka mencetus kontroversi, berbanding menambah baik tulisan sendiri? Kalau dia mahu mencari suara sebagai seorang wartawan atau penulis kreatif, daripada mana dia harus bermula?

Silaturrahim Lebih Penting

Kamil Naim memberitahu kegusarannya lewat Twitter: “Dah balik-balik pesta buku muka sama nak gaduh macam mana. Hampa duk bertentang booth karang bertumbuk pulak. Aku tak suka kritik buku sebab ada kemungkinan kita kena bekerjasama pada masa akan datang, samada penulis atau penerbit. Better not to burn bridges if you don’t own any.”

Tak ada silap pun kegusaran Kamil ini sebab apabila memilih untuk kritik, ia memang akan melibatkan pihak yang lain. Misalnya, apabila saya memetik tweet di atas, saya telah pun melibatkan Kamil secara langsung. Sekarang, saya risau kalau selepas ini, Kamil tak akan mengaku yang kami pernah belajar menulis bersama sewaktu Minggu Penulis Remaja 2019. Saya risau, tapi kenapa saya perlu peduli reaksi Kamil?

Saya cuma mengambil pendapatnya, bawa ke satu medium lain untuk perbincangan. Sebagai sebuah rakaman. Sebagai satu cara untuk memulakan sesi berdialog bak kata Qurratul ‘Ain. Sama macam apabila selepas membaca sesebuah buku, saya mengeluarkan isinya untuk satu sesi borak-borak (lebih mesra). Sebagai sebuah rakaman yang buku tersebut adalah sekian sekian daripada sudut pandang saya. Kalau kritikan itu disambut oleh pihak lain, maka wujud dialog. Yang dirakam. Yang boleh ditekuni ramai.

Ia bukan pergaduhan. Ia perbualan. Cuma lebih kritis. Dapat dibaca dan difahami bukan saja oleh penggiat sastera, tapi pembaca dan pengikut penulis juga. Dan yang hadir selepasnya adalah reaksi.

Kalau Kamil memilih untuk block saya di Twitter atau mengelak sewaktu berjumpa di pesta buku selepas ini, itu adalah reaksinya. Bukan pilihan saya. Sebaik saja seseorang memilih untuk mengkritik karya yang dibaca, dilihat dan didengarinya, dia tak perlu risaukan reaksi yang akan diberi oleh pengkarya asal.

Kalau terlalu memikirkan tentang silaturrahim, mustahil saya akan sebut Jack dan Naim dalam perenggan sebelum ini. Tapi, memikirkan tentang perkembangan penulis dan sastera itu sendiri, nama mereka dipetik macam tak ada keakraban antara kami.

Atau kalau tiba-tiba gusar datang selepas tulisan ini tersiar, mungkin saya akan WhatsApp Jack dan Naim; kita still kawan ke? Tapi, kenapa pula saya perlu takut dengan reaksi mereka?


Pengarang :