Anggota bomba turun menggunakan tali untuk menyelamatkan seorang lelaki yang mengamuk dan cuba terjun dari tingkat lima Flat Sri Johor, Cheras pada 1 Ogos 2020. Foto IHSAN BOMBA
AGENDANASIONAL

Kerajaan cadang undang-undang cubaan bunuh diri dimansuh

SHAH ALAM, 22 MAC: Kerajaan berhasrat memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi menyelamatkan individu yang ingin membunuh diri akibat tekanan dan masalah mental.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata isu cubaan membunuh diri perlu dikendalikan sebagai masalah kesihatan awam dan bukannya kesalahan jenayah.

“Mereka yang cuba membunuh diri perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan penilaian lanjut dan diberi rawatan sewajarnya.

“Mereka tidak seharusnya disabitkan dengan jenayah kerana mereka berada dalam keadaan mental yang tidak stabil,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee (Kuching-PH) yang ingin mengetahui status cadangan pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Ramkarpal menambah kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara telah menjalankan kajian secara mendalam berkaitan cadangan pemansuhan undang-undang tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menjelaskan susulan itu, kerajaan sedang memuktamadkan ketetapan dasar dan juga beberapa rang undang-undang sebelum pemansuhan dilaksana.

“Bagi langkah seterusnya, suatu memorandum berkenaan usaha ini akan dikemukakan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat. Kemudian ia akan dibentangkan di parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan,” katanya.

Seksyen 309 Kanun Keseksaan memperuntukkan individu yang disabit kesalahan kerana cubaan bunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun, denda atau kedua-duanya.


Pengarang :