Mohd Khairuddin Othman mendengar penerangan daripada urusetia pada program Back To Shool – Selangor Prihatin di tapak parkir Econsave Sungai Buloh pada 12 Mac 2023. Foto Ihsan Pejabat EXCO
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan digesa segera pinda akta, iktiraf dan bela pekerja p-panggilan

OLEH DIANA ABD WAHAB

SUNGAI BULOH, 13 MAC: Kerajaan diminta segera meminda akta bagi mengiktiraf pekerjaan p-panggilan atau ekonomi gig dalam masa terdekat.

EXCO pembangunan modal insan berkata langkah itu perlu bagi memastikan golongan menceburi lapangan itu mendapat pembelaan dan jaminan masa depan.

“Dari segi peluang perniagaan dah betul tapi jaminan pekerjaan masih belum ada. Perkara itu penting kerana setakat ini belum ada jaminan dari segi undang-undang.

“Jaminan paling penting adalah daripada Kerajaan Persekutuan. Kita harap menteri belia dan sukan dapat segerakan pindaan undang-undang yang iktiraf belia yang bawa makanan ini sebagai satu pekerjaan,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Back To School – Selangor Prihatin di tapak parkir Econsave Sungai Buloh di sini semalam.

Difahamkan, menteri berkaitan Hannah Yeoh akan membawa perkara itu ke Parlimen bagi meminda akta supaya pekerja p-panggilan mendapat perlindungan dan pembelaan.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Dewan Negeri Paya Jaras berkata apabila bidang pekerjaan itu tidak diiktiraf, nasib golongan menceburinya terutama anak muda tidak menentu dan tiada jaminan.

“Sekarang ini status pekerja bidang ini seperti penjual nasi lemak. Nak kerja boleh, tak kerja pun boleh.

“Kalau berhenti (kerja) tak ada bayaran dan jaminan, habis begitu sahaja kerana tak ada undang-undang yang lindungi mereka,” katanya menjelaskan Selangor sentiasa menyokong sebarang program membabitkan belia yang bekerja dalam bidang berkenaan.


Pengarang :