EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han ketika mesyuarat Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran (JKSTP) di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 7 Mac 2023. Foto Facebook Ng Sze Han
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri komited pelihara keunikan Bandar Batu Arang

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Negeri komited untuk memelihara keunikan bandar Batu Arang menerusi Rancangan Tempatan Kawasan Khas (RKK) bandar Batu Arang 2030.

EXCO Kerajaan Tempatan berkata usaha itu dilaksana melalui mesyuarat Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran (JKSTP) draf rancangan khas itu yang telah diadakan di Majlis Perbandaran Selayang (MPS), baru-baru ini.

Menurut Ng Sze Han antara perbincangan yang menarik perhatiannya adalah cadangan pemeliharaan Masjid Jamek Batu Arang oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan.

“Mesyuarat JKSTP ini merupakan proses seterusnya selepas publisiti Draf RKK Bandar Batu Arang 2030 diadakan Oktober lalu.

“Salah satu yang menarik perhatian saya adalah cadangan pemeliharaan Masjid Jamek Batu Arang oleh AJK masjid,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sze Han berkata tujuh bantahan dan cadangan diterima dalam mesyuarat yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPS, Adi Faizal Ahmad Tarmizi serta Pengarah PlanMalaysia Selangor, Khairulzaman Ibrahim.

Pada Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mempelawa orang awam memberi cadangan dan idea bagi menjayakan draf RKK Bandar Batu Arang 2030.

Batu Arang atau pernah dikenali sebagai Bukit Emas Mini merupakan bandar perlombongan arang batu yang terkenal sebelum Perang Dunia Kedua hingga 1960-an.

Di bandar warisan ini, pengunjung boleh melihat pelbagai tinggalan sejarah berkaitan aktiviti perlombongan batu arang seperti terowong, serombong api dan sebagainya.


Pengarang :