Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi penggulungan belanjawan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 9 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan perkenal kaedah caruman KWSP jadi cagaran pinjaman bank

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai kolateral atau cagaran kepada bank.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagaimanapun kaedah itu hanyalah bagi mereka yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang.

“Pada prinsipnya saya tidak setuju pengeluaran khas dana simpanan persaraan rakyat.

“Bagaimanapun, saya akan pastikan supaya KWSP memberikan ruang bagi pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak untuk pinjam daripada bank dengan kolateral atau jaminan cagaran daripada wang KWSP,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata ia merupakan langkah terbaik yang boleh dilakukan sekarang memandangkan ketika ini banyak negara yang memberikan kelonggaran seperti pengeluaran dana persaraan telah menghentikan atau membatalkan kemudahan itu.


Pengarang :