Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bergambar bersama penerima manafaat Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) ketika Majlis pelancaran dan lawatan tapak IPR Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) @ PJ City Food Valley di Pangsapuri Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 21 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan perlukan 60,000 ekar tanah, jayakan projek tanaman fertigasi

PETALING JAYA, 21 MAC: Kerajaan memerlukan kira-kira 60,000 ekar tanah bagi memenuhi permintaan 30,000 penduduk miskin tegar dan berpendapatan rendah (B40) seluruh negara untuk menjalankan projek tanaman fertigasi menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Justeru, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, agensi dan pengusaha tanah bagi mencapai matlamat pelaksanaan Inisiatif Usahawan Tani (Intan).

“Jika kita melihat kepada 30,000 sasaran (Intan), plot tanah seorang antara 0.25 ekar atau setengah ekar. Jadi, kita memang perlukan antara 60,000 ekar tanah berdasarkan anggaran tersebut.

“Sebab itu kita memang tumpukan untuk bekerjasama dengan seberapa banyak agensi seluruh negara selain daripada tanah yang sudah ada dalam sistem kerajaan persekutuan. Kalau sampai satu peringkat, (kerjasama dengan) pengusaha yang ada tanah sendiri,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan IPR Intan @ PJ City Food Valley di Pangsapuri Kos Rendah, Pelangi Damansara di sini hari ini yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Projek tanaman cili fertigasi itu dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) atas tanah seluas 80 ekar.

Mengulas sama ada kerajaan berhasrat memperluas projek itu kepada tanaman lain, Rafizi menjelaskan ia harus mengambil kira faktor lokasi selain permintaan pembeli untuk jangka panjang.

“Kita mahu pastikan pengusaha tidak menanggung risiko perniagaan dan pemasaran bersendirian sebab kadang-kadang apabila sudah buat tanaman, harga turun naik.

“Apabila harga turun, dia (pengusaha) tidak dapat pasarkan (tanaman) dan rugi. Sebab itu selepas dua kali tuai, dia putus asa. Jadi kita mahu sediakan ekosistem yang mana pembeli memang bagi komitmen jangka panjang untuk beli,” katanya.

Pada 9 Mac lalu, Rafizi memaklumkan tanah seluas 323 hektar milik kerajaan dikenal pasti untuk projek tanaman fertigasi melalui Intan bagi membantu meningkatkan pendapatan B40 selain mengurangkan kebergantungan import bahan mentah.

Belanjawan 2023 memperuntuk RM750 juta kepada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan IPR meliputi Intan, Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

Program tersebut menyasar peserta meraih pendapatan antaran RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dalam tempoh pemantauan 24 bulan sebelum menjana pendapatan sendiri.


Pengarang :