Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dan menyampaikan kit bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di SJK(C) New Kota, Kota Tinggi, Johor pada 2 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan salur RM10 juta melalui NADMA bantu mangsa bah Johor

KOTA TINGGI, 2 MAC: Sebanyak RM10 juta bantuan mangsa banjir di Johor disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membeli barangan keperluan dan bantuan tambahan kepada penduduk terjejas banjir di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan segera itu bagi memastikan semua kelengkapan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencukupi, memandangkan angka penduduk terjejas terus meningkat.

“Saya dimaklumkan terdapat kekurangan selimut, bantal dan tilam. Ketua Pengarah NADMA sudah bagi tahu Pegawai Daerah agar pembelian dilakukan segera dan pembayaran kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan dilakukan segera sebagai tindakan pantas NADMA bagi menyelesaikan masalah kekurangan itu,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bagi memobilisasikan tugas kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat di PPS dan kawasan terjejas sebagai langkah mengatasi kekurangan petugas itu.

Sementara itu, beliau berkata perubahan iklim, pemanasan global serta hujan pada tahap sangat luar biasa menjadi antara faktor menyebabkan banjir di Johor kali ini sekali gus menjadikan ia terburuk selepas bencana itu berlaku pada 2006.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata faktor tersebut menyebabkan paras air di sungai-sungai utama di negeri ini termasuk Sungai Johor meningkat mendadak berikutan air mengalir dari Pahang ke sungai-sungai di negeri ini.

Laporan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjangkakan pada 2050, pemanasan global bakal menyebabkan pulau-pulau kecil di lautan seluruh dunia ditenggelami air seterusnya menyebabkan paras air meningkat.

Justeru, beberapa langkah perlu diambil kerajaan bagi memastikan bencana banjir besar di negeri ini tidak berulang termasuk mempercepat tindakan jangka panjang bagi Rancangan Tebatan Banjir di lokasi berisiko.

“Apa yang penting adalah melebar dan mendalamkan sungai kerana limpahan sungai itu menyebabkan banjir. Apa yang penting bagi jangka panjang, tebatan banjir di beberapa daerah di Johor perlu disegerakan.

“Walaupun terdapat kekangan kewangan tetapi Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi ada kaedah tertentu bagi buat pelan mitigasi banjir,” katanya dengan menambah kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM7.6 juta sebagai tindakan segera bagi meningkatkan sistem perparitan di daerah ini.- BERNAMA

 


Pengarang :