AGENDANASIONAL

Kerajaan teliti serap guru Kafa ke jawatan tetap, berpencen

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan perlu meneliti secara menyeluruh sebelum melaksanakan pertukaran guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) ke jawatan tetap dan berpencen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan penelitian termasuk penyeragaman dan pengoperasian Kafa yang berbeza antara negeri.

“Berkaitan menambah baik status penjawatan guru Kafa ke jawatan tetap dan berpencen, hal ini memerlukan penelitian menyeluruh sebelum ia dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas elaun guru sebanyak RM1,100 yang dianggap tidak mencapai garis gaji minimum, Mohd Na’im berkata kerajaan mengkaji kedudukan guru Kafa dari semasa ke semasa termasuk kenaikan elaun.

“Sepanjang kewujudan program Kafa dari 1990, kerajaan meluluskan lapan kali kenaikan elaun bermula RM198 sehingga RM1,100 pada masa kini.

“Ini tidak termasuk elaun KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial yang bermula dari 2011,” katanya lagi.


Pengarang :