Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika berucap pada Majlis Pelancaran RTM sebagai rakan penyiar Liga Malaysia 2023 di Wisma TV, Kuala Lumpur pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan tumpu keselamatan siber, elak rakyat terpengaruh fahaman ganas

SHAH ALAM, 7 MAC: Keselamatan dalam talian sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha melindungi platform media sosial dan rangkaian komunikasi digital daripada penyebaran fahaman keganasan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata langkah itu bagi mengelak rakyat terpengaruh dengan fahaman radikal yang boleh menggugat ketenteraman awam dan mengancam keselamatan negara.

“Kita tidak mahu fahaman ekstremis dan keganasan berkembang dan ia perlu ditangani segera. Keselamatan dalam talian memang jadi keutamaan kerajaan.

“Ada beberapa perkara yang agak membimbangkan bukan saja kemunculan scammer tetapi juga kumpulan yang terkait (dengan keganasan) seperti Islamic State (IS) yang membawa fahaman ektremis dan radikal yang boleh bahayakan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penonton mengenai usaha kerajaan memastikan keselamatan dalam talian sentiasa terjamin pada sesi town hall Rakyat Sinar Harian Bersama Fahmi Fadzil di Kumpulan Karangkraf Seksyen 15 semalam.

Fahmi menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan isu membabitkan keselamatan sama ada individu warganegara, bukan warganegara atau keselamatan awam.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihaknya memantau rapi aktiviti media sosial kumpulan di negara ini yang dikaitkan dengan pengganas Daesh seperti dilaporkan beberapa media tempatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan itu didapati adalah berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Findland.

Menurutnya, PDRM sejak awal telah mengesan dan memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial yang digunakan kumpulan pengganas itu untuk meraih sokongan.

Antara langkah PDRM ialah mewujudkan kerjasama rapat dengan agensi keselematan serantau bagi memantau penyebaran propaganda sedemikian agar tindakan dapat diambil ke atas pihak yang dikenalpasti terlibat.


Pengarang :