Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika menjawab pertanyaan menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 21 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan yakin tangani 130,000 ketua isi rumah miskin tegar tahun ini 

SHAH ALAM, 28 MAC: Sebanyak 130,000 ketua isi rumah miskin tegar dijangka dapat ditangani dan dinoktahkan tahun ini, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya yakin dengan dengan keupayaan semua kementerian dan jabatan terlibat untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Setakat 15 Mac sejumlah 123,243 ketua isi rumah miskin tegar berdaftar dengan eKasih, namun saya memilih untuk meletakkan 130,000 kerana kemungkinan angka ini bertambah.

“Jika ikut perkembangan sehingga Mac, keupayaan jabatan secara keseluruhannya termasuk kerjasama pejabat-pejabat daerah, (kita) mampu mengenal pasti dan menoktahkan miskin tegar,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai pendekatan terbaru dan kemajuan pelaksanaan Kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan secara holistik.

Beliau berkata kerajaan memperkenalkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan sejumlah RM750 juta diperuntukkan menerusi Insiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

“Dalam tempoh kira-kira sebulan (selepas dilancarkan) lebih 22,000 berdaftar (dengan IPR). Ini satu perkembangan positif kerana apabila dia (pemohon) daftar cara penyemakan lebih berkesan (sampai kepada kumpulan sasar),” katanya.

 


Pengarang :