Pemantauan udara bomba di bandar Segamat, daerah paling teruk terjejas banjir dengan 2,189 keluarga dipindahkan ke 60 PPS setakat tengah hari 2 Mac 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara
AGENDANASIONAL

Kerosakan, kerugian sektor pertanian, penternakan akibat banjir sedang dinilai kerajaan

PORT DICKSON, 8 MAC: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menilai dan mengenal pasti kerosakan serta jumlah kerugian dialami sektor pertanian dan penternakan terutama di Johor yang terjejas akibat banjir.

Timbalan Menterinya Chan Foong Hin berkata ia bagi memastikan semua petani dan penternak terjejas menerima bantuan sewajarnya selepas proses penilaian dilakukan.

“Ketika ini, kementerian (KPKM) melalui pelbagai agensi di lapangan, kita sedang mendapatkan bancian penuh (mereka yang terlibat banjir) baru boleh kita tentukan berapa jumlah pampasan yang boleh diberikan kepada mereka.

“Setakat ini belum ada jumlah kerugian sebenar, lagipun banjir belum surut sepenuhnya, kita tak dapat komen sebelum dapatkan maklumat terperinci,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian Dan Makanan (NAFEC) 2023 di sini hari ini.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Khairul Shahril Idrus hari ini dilaporkan berkata situasi banjir di Johor, Melaka dan Pahang semakin pulih dan akan memasuki fasa pascabanjir dalam masa terdekat.

Setakat pagi tadi, 43,007 mangsa banjir di negeri berkenaan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas melibatkan 27,774 mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :