Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes demam denggi menurun 3.9 peratus minggu lalu, satu kematian dicatatkan

PUTRAJAYA, 7 MAC: Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada minggu epidemiologi (ME) kesembilan tahun ini iaitu 26 Februari hingga 4 Mac menurun 3.9 peratus kepada 2,062 kes berbanding 2,145 kes pada minggu sebelumnya, dengan satu kematian dicatatkan akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 19,450 kes berbanding 6,229 kes bagi tempoh sama pada 2022 iaitu peningkatan 212.2 peratus.

Sementara itu, 15 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan dalam ME kesembilan tahun ini berbanding dua kematian bagi tempoh sama pada 2022 iaitu peningkatan 13 kematian.

Sebanyak 84 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu tersebut berbanding 66 lokaliti pada minggu sebelumnya, dengan 57 lokaliti hotspot berada di Selangor, 16 di Sabah, masing-masing empat di Pulau Pinang serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta tiga di Perak.

Dr Noor Hisham berkata survelan Chikungunya merekodkan dua kes pada ME kesembilan dengan masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Selangor manakala jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini adalah 97 kes.

Bagi survelan Zika, beliau berkata 448 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan Zika dan hasil semuanya adalah negatif.

Beliau berkata kejadian banjir di beberapa negeri menyebabkan banyak sampah sarap serta bekas hanyut dan terdampar di persekitaran dan diselang-seli pula cuaca panas sangat berpotensi untuk menjadi tempat nyamuk Aedes membiak dan menyebabkan wabak denggi.

Oleh itu, Dr Noor Hisham berkata beberapa tindakan perlu diambil bagi mengawal kejadian demam denggi di kawasan yang dilanda banjir antaranya penduduk di kawasan kejiranan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) setempat perlu segera melupuskan bekas di persekitaran sejurus setelah banjir surut.

Beliau berkata penduduk di kawasan banjir antaranya dinasihatkan meletak bahan pembunuh jentik-jentik di dalam lopak air atau takungan bagi kawasan lopak air atau bekas takungan air yang sukar dilupuskan, serta menggunakan repelan.

Beliau berkata pergerakan manusia dari satu tempat ke tempat lain juga berisiko menyebarkan virus denggi daripada pembawa demam denggi tanpa gejala (asimptomatik) ke kawasan yang dilawati sehingga menyebabkan wabak di kawasan baharu.

“Sekiranya mengalami gejala demam, sakit sendi atau sakit badan, sakit kepala dan lain-lain perlu segera dapatkan rawatan dan jangan bertangguh kerana demam denggi boleh meragut nyawa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :