Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media pada sesi libat urus Kementerian Kesihatan bersama media di Putrajaya pada 10 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes demam denggi turun 0.2 peratus minggu lalu, seorang maut

PUTRAJAYA, 1 MAC: Jumlah kes demam denggi pada minggu epidemiologi kelapan tahun ini (ME8/23), 19 Januari hingga 25 Februari, menurun kepada 2,145 kes iaitu penurunan 0.2 peratus atau empat kes, berbanding 2,149 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu tersebut.

Katanya kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 17,388 kes berbanding 5,558 kes dalam tempoh sama pada 2022, iaitu peningkatan 212.8 peratus atau 11,830 kes, dengan 14 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding satu kematian bagi tempoh sama pada 2022.

“Sebanyak 66 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini (ME8/23) berbanding 79 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya,” katanya.

Ia melibatkan 40 hotspot di Selangor, 15 di Sabah, lima di Pulau Pinang, empat di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata survelan chikungunya merekodkan satu kes pada ME8/23 di Negeri Sembilan, dengan jumlah kumulatif kes sehingga kini adalah 95 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 400 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya negatif,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :