Datuk Lee Chong Wei
AGENDASUKANKINI

Khidmat legenda sukan ditagih bantu atlet buru emas pertama Olimpik

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Penglibatan beberapa legenda sukan negara dalam projek “Road To Gold” (RTG) bertujuan membantu atlet dari aspek motivasi untuk mencapai matlamat merangkul pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Bekas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa projek RTG berkata antara peranan utamanya ialah memberi motivasi kepada para atlet dalam persediaan berjuang untuk membawa pulang kilauan emas di temasya sukan berprestij itu.

Pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu berkata bantuannya tidak hanya terarah kepada pemain badminton tetapi juga atlet lain seperti jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan ratu terjun Datuk Pandelela Rinong Pamg untuk beraksi pada tahap terbaik.

“Kami (projek RTG) bukan satu-satunya bantuan untuk atlet dapatkan emas tetapi yang penting ialah diri sendiri, apa yang mereka mahukan dan apa yang diperlukan. Kami perlu pastikan mereka geram dan ‘lapar’ untuk dapatkan emas pertama.

“Jadi tugas saya ialah beri mereka motivasi dan persiapan yang terbaik sebelum ke Olimpik. Saya sudah beraksi di Olimpik empat kali dan saya mahu membantu atlet-atlet mendapat segala keperluan yang mereka mahukan,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional di Bukit Jalil, di sini semalam.

Selain Chong Wei, bekas kapten skuad hoki kebangsaan Datuk Mirnawan Nawawi dan legenda skuasy Datuk Nicol Ann David turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa RTG.

Mirnawan berkata walaupun mempunyai sokongan dan bantuan dari segala aspek tetapi kemahuan atlet itu sendiri adalah penting iaitu mereka seharusnya ‘laparkan’ kejayaan.

“Kami akan melihat bagaimana kita dapat pastikan atlet berpotensi beraksi pada tahap terbaik,” katanya.

Sementara itu, Nicol mengakui berbangga dapat bersama-sama dalam membantu kontinjen negara meskipun beliau tidak pernah beraksi di pentas Olimpik susulan sukan skuasy tidak dipertandingkan.

“Walaupun saya tidak bertanding di Sukan Olimpik tetapi ini memang kebanggaan tertinggi untuk saya sebagai bekas atlet negara. Jadi kami sebagai bekas atlet tahu akan cabaran yang mereka akan hadapi dan persediaan sangat penting,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan pembentukan pasukan projek RTG yang dianggap sebagai projek nasional dengan objektif menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di temasya Olimpik.

Jawatankuasa RTG dipengerusikan bersama oleh Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sementara Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Ketua Kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024.

RTG akan memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih banyak pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

– BERNAMA


Pengarang :