Keadaan kilang baja di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, Kuala Selangor yang kotor sehingga mengundang bau busuk. Foto Facebook MPKS
PBTSELANGOR

Kilang baja punca bau busuk diarah tutup, pengusaha dikompaun

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebuah kilang baja di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, Kuala Selangor diarah tutup selepas gagal menyediakan persekitaran yang bersih sehingga menimbulkan bau busuk.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan penutupan serta-merta kilang memproses sisa ayam sebagai baja pertanian itu dibuat dalam operasi bersepadu pada 2 Mac lalu susulan aduan orang awam.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kilang ini beroperasi di lokasi yang terlindung dengan aktiviti pertanian dan pernah disita oleh MPKS pada 14 Jun 2022.

“Selain itu, pihak pengusaha juga gagal menyediakan persekitaran yang bersih sehingga mengeluarkan bau busuk,” katanya di Facebook.

MPKS menambah pengusaha kilang terbabit turut dikompaun kerana tiada lesen aktiviti mengilang selain sitaan seunit penjana kuasa elektrik dan trak angkat susun.

Menurutnya, kes disiasat mengikut UUK 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007.


Pengarang :