Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam temu bual bersama media di Putrajaya pada 8 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM mula projek rintis atasi kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah

SHAH ALAM, 27 MAC: Projek Rintis Kluster Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dimulakan Sabtu lalu bagi menangani tempoh menunggu lama di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu.

Menteri kesihatan berkata inisiatif bersama Klinik Kesihatan (KK) Bandar Botanik membolehkan pesakit bergejala ringan dan bukan kes kecemasan mendapatkan rawatan segera, lapor Berita Harian.

“KK Bandar Botanik beroperasi setiap hari termasuk hari kelepasan am dari 8 pagi hingga 9.30 malam, dengan waktu menerima pendaftaran pesakit terhad hingga 9 malam,” kata Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berharap ketetapan baharu itu akan mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan di HTAR, yang berperanan merawat kes kecemasan yang serius dan kritikal.

Beliau menambah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau perkembangan projek rintis berkenaan sebelum berhasrat untuk memperluas program itu.

Pada 10 Mac, KKM memaklumkan akan memanjangkan waktu operasi di 52 klinik kesihatan seluruh negara sehingga 9.30 malam bagi mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital.


Pengarang :