Sebuah lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meredah banjir yang membawa barangan keperluan asas bagi mangsa banjir di Lenga pada 4 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM pantau penyakit bawaan air pascabanjir – Dr Zaliha

MELAKA, 5 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau sebarang penyakit bawaan air terutama kencing tikus (leptospirosis) dan keracunan makanan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata dua penyakit tersebut sering berlaku terutama selepas banjir melanda sesuatu kawasan.

“Kita juga akan menggerakkan pasukan lain (pasukan kesihatan) untuk aktiviti pembersihan terutama di fasiliti-fasiliti kesihatan yang terjejas dengan bencana tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Nursing Professional Group (NPG) International Nursing Conference 2023 bertemakan Invest in Nursing: Then, Now and What’s to Come di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Rusdi Abd Rahman, Pengerusi NPG Prof Zahrah Saad dan Pengarah Kejururawatan KKM SM Devi.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata KKM mempunyai  tatacara operasi piawai (SOP) ketika berlaku banjir terutama dalam menguruskan pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata antara perkara dilakukan termasuklah melaksanakan aktiviti semburan untuk mengelak penyakit berjangkit selain membuka klinik bergerak sebagai rawatan segera kepada mangsa banjir yang sakit.

Katanya, KKM juga masih melakukan saringan Covid-19 kepada mangsa banjir yang berpindah ke PPS.

Keadaan banjir di beberapa negeri semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS meningkat kepada 48,989 orang setakat pagi ini.

Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 44,860 orang diikuti Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).

– BERNAMA

 


Pengarang :