Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK) Norfiza Mahfiz (dua dari kiri) menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia 2022 daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Datuk M Noor Azman Taib sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia peringkat Pihak Berkuasa Tempatan di Putrajaya pada 20 Mac 2023. Foto MPK
AGENDANASIONALPBTSELANGOR

Klang diiktiraf antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia

OLEH AZIAN AZIZ

KLANG, 30 MAC: Klang diiktiraf antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia untuk 2022 sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 20 Mac lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata pengiktirafan melalui Anugerah Bandar Paling Bahagia itu dinilai berdasarkan pencapaian PBT dalam pengukuran indeks kebahagiaan.

Menurut Noraini Roslan, penilaian indeks tersebut dibuat melalui Program Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets) tahun lalu.

“Indeks kebahagiaan merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan dan kebahagiaan penduduk Klang.

“Kajian melalui soal selidik yang melibatkan 42,000 responden daripada 117 PBT di negara ini telah dilakukan untuk tujuan itu,” katanya dalam perutusan sempena Mesyuarat Penuh MPK hari ini.

Noraini menjelaskan soal selidik tersebut mengambil kira aspek kehidupan, kesihatan, hubungan kekeluargaan dan jiran, pengurusan kewangan, aktiviti komuniti dan keselamatan.

Ujarnya, turut diambil kira ialah aspek penyediaan kemudahan masyarakat, perkhidmatan PBT, perkhidmatan wakil rakyat dan kualiti alam sekitar.

“Soal selidik ini dibuat secara atas talian melalui Gerbang MURNInets yang dijawab terus responden ke dalam sistem dengan kerjasama Ahli Majlis MPK untuk meuar-uarkan kepada komuniti berhubung penilaian ini,” tambahnya.

Bandar lain yang menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia ialah Petaling Jaya, Selangor; Manjung, Perak; Kluang, Johor; Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Kuantan dan Rompin, Pahang serta Alor Gajah, Melaka.


Pengarang :