Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Stadium Malawati, Shah Alam bagi menyempurnakan Kongres Khas KEADILAN 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kongres khas pertama Anwar sebagai PM selepas 20 tahun kemudi parti

SHAH ALAM, 18 MAC: Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang diadakan hari ini merupakan kongres pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas 20 tahun mengemudi parti.

Presiden KEADILAN dijangka menyampaikan ucapan sulungnya mengenai kebajikan rakyat dan pelaksanaan dasar negara dihadapan lebih 4,000 perwakilan dan pemerhati.

Berlangsung di Stadium Malawati di sini, kongres membuka tirainya dengan ucapan dasar presiden, peluncuran Koperasi KEADILAN (KIRA), sesi perbahasan oleh wakil negeri dan sayap parti, dan diakhiri dengan ucapan penangguhan presiden.

Mengangkat tema Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme, kongres kali ini turut memfokuskan persiapan parti bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Antara perkara yang dijangka berbangkit adalah garis besar berhubung hala tuju rundingan kerusi, terutamanya menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan kerjasama bersama Barisan Nasional (BN).

Antara pemimpin yang hadir termasuklah Timbalan Presiden Rafizi Ramli, Naib Presiden Dato’ Seri Amirudin Shari dan Nurul Izzah Anwar serta Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

 


Pengarang :