Kontinjen negara menunjukkan pingat yang dimenangi pada pertandingan Abilimpik Antarabangsa yang berlangsung di Metz Eurometropole, Perancis pada 23 hingga 25 Mac 2023. Foto Facebook Anak Istimewa Selangor- ANIS
AGENSISELANGOR

Kontinjen OKU negara raih pingat perak, gangsa pada Abilimpik 2023 di Perancis

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 28 MAC: Seramai lima peserta negara berjaya meraih pingat dalam pertandingan Abilimpik Antarabangsa 2023 yang berlangsung di Metz Eurometropole, Perancis baru-baru ini.

Pertandingan pada 23 hingga 25 Mac lalu menyaksikan Nur Amiratul Farahin Ab Rahman yang bertanding dalam kategori seni lukis memenangi pingat perak dan menerima Anugerah Kecemerlangan Abilimpik.

Kontinjen negara turut meraih pingat gangsa menerusi Wan Muhammad Hafizunif Wan Roslan (kategori menghias kek) dan Muhammad Hanif Naufal Mohd Mazni (kategori perkhidmatan restoran).

Abilimpik (Abilympics), atau Olimpik Kebolehan (Olympics of Abilities) diperkenal pada 1970-an di Jepun bagi meningkatkan keupayaan vokasional orang kurang upaya (OKU).

Menurut Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dua peserta negara turut meraih Anugerah Kecemerlangan menerusi kategori sulaman dan kategori perkhidmatan restoran.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada kontinjen Malaysia yang memenangi acara di Abilimpik 2023!

“Kami amat berbangga dengan pencapaian anda dan akan terus memberikan sokongan padu agar anda terus maju dan berjaya! Anda semua juara di hati kami!” katanya di Facebook.

Abilimpik edisi ke-10 menyaksikan negara diwakili 16 peserta menerusi pelbagai kategori antaranya perkhidmatan restoran, sulaman, pemasangan komputer, pemprosesan data, fotografi, jahitan dan kulinari.

Abilimpik yang menggabungkan kepakaran, kemahiran (kebolehan) dan pergerakan olimpik adalah pertandingan kemahiran vokasional direka khusus untuk OKU bagi membolehkan mereka mengetengahkan bakat unik.

Acara yang diadakan empat tahun sekali itu melibatkan 22 negara, 410 peserta dan 45 kategori kemahiran yang dipertandingkan.

 


Pengarang :