Gambar hiasan perbicaraan mahkamah
AGENDAJENAYAH

Kontraktor didakwa perdaya PIBG sekolah berhubung projek bina bilik darjah

SHAH ALAM, 7 MAC: Seorang bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya dan menggunakan dokumen palsu berhubung projek pembinaan blok bangunan bilik darjah sebuah sekolah rendah di Hulu Selangor pada 2016.

Bagi pertuduhan pertama, M Sivanesan, 35, didakwa memperdayakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Hulu Selangor dengan mendorong persatuan itu menyerahkan wang sebanyak RM285,000 kepadanya bagi menyiapkan pembinaan satu blok bangunan mengandungi tiga bilik darjah.

Sivanesan dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah bank di Sungai Buloh, dekat sini antara 24 Ogos 2016 hingga 26 Okt 2016 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia juga menghadapi pertuduhan menggunakan suatu dokumen palsu dengan menunjukkan kepada Ahli Mesyuarat PIBG sekolah sama iaitu dokumen surat setuju terima Jabatan Kerja Raya berhubung cadangan pembinaan blok tambahan baharu unit bilik darjah sekolah itu pada 26 Okt 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam R Vikraman yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya kini bekerja sebagai pembantu kuil di Johor dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan.

“Dia (Sivanesan) juga menyara isteri, ibu bapanya dan adik perempuannya yang sedang menuntut di kolej,” katanya.

Hakim Rozilah Salleh mengenakan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua permohonan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan, selain menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA

 


Pengarang :