EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua, kiri) diiringi Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey (dua, kanan) meninjau Menu Rahmah ditawarkan Restoran Deli Thai, Seksyen 7 Shah Alam pada 3 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kos sara hidup naik, Selangor galak peniaga promosi Menu Rahmah

SHAH ALAM, 3 MAC: Kerajaan Negeri menggalakkan pengusaha kedai makan mempromosi Menu Rahmah di premis masing-masing bagi membantu masyarakat khususnya mahasiswa.

EXCO Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata peniaga boleh menawarkan menu tersebut secara sukarela dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

“Setakat ini, promosi Menu Rahmah mendapat sambutan dalam kalangan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah. Malah, saya lihat kualiti makanan ditawarkan juga sepadan dan berpatutan dengan harganya.

“Oleh demikian, Kerajaan Negeri menggalakkan mana-mana peniaga mengikut inisiatif Menu Rahmah secara sukarela bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup dan pendapatan terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Menu Rahmah peringkat negeri di Kafe Sentral, Seksyen 14 dan Restoran Deli Thai, Seksyen 7 di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata beliau berharap tawaran menu dengan harga murah itu akan menarik lebih ramai pelanggan dan memberi sumbangan kemasyarakatan.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) diiringi Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey (tiga, kanan) menunjukkan Menu Rahmah di Cafe Central, Seksyen 14 Shah Alam pada 3 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata rakyat kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara mulai 31 Januari melalui program Menu Rahmah.

Katanya, kementeriannya bersifat terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu menggunakan jenama Rahmah asalkan ia bertujuan membantu rakyat dan pihak yang menyediakan Menu Rahmah dengan menawarkan harga serendah RM5 perlu memastikan kualiti makanan dijual.


Pengarang :