Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh (kiri) menunjukkan makanan yang ditawarkan dengan harga menu Rahmah pada Pelancaran Fiesta Food Truck Menu Rahmah sempena Program Jualan Rahmah Parlimen Pulai di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 10 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDN laksana Jualan Rahmah di 109 lokasi setakat ini

SHAH ALAM, 13 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Jualan Rahmah di 109 lokasi meliputi 77 Parlimen setakat ini.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata jualan barangan dengan potongan sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran itu menyasarkan 222 kawasan Parlimen termasuk Parlimen Pembangkang.

“Kerajaan menyediakan RM100 juta untuk program Jualan Rahmah di 222 lokasi Parlimen menerusi Bajet 2023,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerantut Ts Khairil Nizam Khirudin berhubung pelan tindakan KPDN bagi memastikan kos bahan mentah sentiasa dalam keupayaan rakyat.

Dalam pada itu, Fuziah berkata kerajaan juga menggalakkan pasar raya seluruh negara menjual barangan keperluan dalam pakej Rahmah.

“Barangan keperluan dijual secara ‘bundle’ pada harga yang menjimatkan. Contoh kos RM70 hingga RM80 tetapi dijual dengan RM50,” katanya.


Pengarang :