Pengawal trafik di Sekolah Rendah Kebangsaan King Geogre ke-V (KGV) Seremban memastikan murid-murid melintas dengan selamat untuk memasuki pekarangan sekolah pada sesi persekolahan di Negeri Sembilan pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM ganti buku teks fizikal kepada digital tangani isu beg berat

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) masih meneruskan usaha menukarkan bahan sistem pendidikan termasuk daripada buku teks fizikal kepada digital, bagi menangani isu beg berat dalam kalangan murid.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying bagaimanapun berkata usaha itu agak terhad, dengan mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan murid dan ketersediaan capaian internet di sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Pada masa kini KPM telah memuat naik 754 buku teks digital dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa),” katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) di Dewan Rakyat hari ini, yang mahu tahu langkah kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Lim berkata antara inisiatif lain yang dilaksana ialah, penyediaan lokar sekolah rendah untuk semua murid Tahap 1 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi, selain mengehadkan bilangan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran.

Beliau berkata insiatif lain ialah menerbitkan buku teks secara berterusan, penyusunan semula jadual waktu bagi membolehkan guru merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara optimum, dengan memperuntukkan masa bagi melaksanakan pendekatan modular dan bertema.

Lim berkata pihaknya juga bekerjasama Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing, semasa sesi persekolahan Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (HARAPAN-Kuala Selangor) berhubung smart classroom, Lim berkata KPM menyasarkan untuk menyediakan 3,800 unit projektor di sekolah seluruh negara pada tahun hadapan, bagi menyediakan suasana PdP yang lebih berkesan dan efektif.

– BERNAMA


Pengarang :