Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menjawab pertanyaan media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya, Nibong Tebal pada 13 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM sedia 18 inisiatif bantuan untuk pelajar terkesan banjir

BUKIT MERTAJAM, 11 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan 18 inisiatif bantuan kewangan khususnya untuk pelajar terkesan banjir, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Menurut Fadhlina inisiatif itu hanya dapat diberikan selepas permohonan bantuan diterima kerana bantuan akan diberi mengikut keperluan pemohon.

“Bantuan bencana persekolahan kita (KPM) ada pelbagai… kita nak tengok nanti buka sekolah, kita nak lihat permohonan dikemukakan kepada sekolah iaitu JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) akan ambil kira.

“Contohnya, keadaan yang berlaku di Johor… kita ada 18 inisiatif kewangan yang boleh kita dahulukan untuk bantu mereka (pelajar), yang paling penting mereka dapat teruskan pembelajaran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Back to School’ anjuran Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser di sini hari ini.

Beliau berkata kawasan terjejas banjir selalunya akan berdepan isu berkaitan buku sekolah, pakaian seragam dan kebajikan lain yang diperlukan oleh pelajar terkesan.

Fadhlina berkata sehubungan itu, KPM telah mengeluarkan surat pekeliling ikhtisas (SPI) baharu berkenaan persiapan sekolah di minggu awal dengan penumpuan guru kepada program atau aktiviti suai kenal untuk pelajar selesa di sekolah.

Katanya pelajar terkesan banjir juga tidak perlu memakai pakaian seragam sekolah.

“Minggu awal persekolahan tidak perlu ada apa-apa pelajaran lagi, tumpu kepada aktiviti suai kenal dan untuk pelajar selesa di sekolah melibatkan guru-guru kelas dan ibu bapa,” katanya.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata KPM juga tidak bercadang menangguhkan sesi persekolahan 2023/2024 di kawasan terjejas banjir sebaliknya pelajar terlibat akan diberi pilihan belajar menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

– BERNAMA


Pengarang :