Riduan Abdul Rahim tetap tetap berniaga walaupun tapak gerainya dilimpahi air banjir. Foto Riduan Abdul Rahim
AGENDANASIONAL

Kumpul duit kahwin, peniaga burger di Mersing buka gerai walau tapak dilimpahi air

SHAH ALAM, 5 MAC: Walaupun tapak gerainya dilimpahi air banjir tetapi itu bukan halangan untuk seorang peniaga burger di Pekan Endau, Mersing, Johor meneruskan perniagaannya seperti biasa.

Riduan Abdul Rahim, 40, berkata dia tiada pilihan selain meneruskan rutin hariannya itu memandangkan mempunyai tanggungan yang perlu disara di rumah selain merancang berkahwin pada penghujung tahun ini.

“Ini sumber pencarian utama saya, keperluan rumah semua datang daripada hasil jualan burger ini. Saya tanggung ibu dan anak saudara selain mahu kumpul duit kahwin juga. Jika tidak meniaga ia akan sedikit kacau (mengganggu).

“Selain itu, barang-barang meniaga telah dibeli dan harganya juga semakin naik. Jika tidak digunakan khuatir ia akan rosak sebab barang-barang ini tidak tahan lama dan saya menanggung kerugian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Riduan berkata dia juga perlu mengumpul wang yang cukup untuk membayar sewa tapak perniagaan dengan kadar RM135 setahun.

Riduan yang berniaga sejak hampir 20 tahun lepas berkata biasanya dia mula berniaga seawal 3 petang setiap hari sehingga lewat malam bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Kawasan di sini memang kerap banjir. Banjir kelmarin diikutkan tidaklah terlalu tinggi dan menunjukkan sedikit penurunan pada sebelah pagi, semalam.

“Pada sebelah petang (semalam) hujan lebat, air tiba-tiba kembali naik dan mungkin ia juga disebabkan air laut pasang. Jika banjir semakin memburuk saya akan cuti berniaga,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan rumahnya, lelaki itu berkata kediamannya tidak terjejas memandangkan ia berada di kawasan tinggi namun dia dan keluarga sentiasa berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan.

Riduan juga bersyukur jualan burgernya malam tadi laris berikutan banyak kedai makan di pekan itu tutup.

“Saya sangat berharap, semua ini (banjir) akan kembali pulih seperti sedia kala, supaya kita dapat teruskan kehidupan seharian. Kesian pada mereka yang seperti saya, hanya berharap pada hasil jualan untuk menampung kehidupan,” katanya yang turut bekerja sambilan sebagai deejay di majlis-majlis perkahwinan.

– BERNAMA


Pengarang :