SHAH ALAM, 27 MAC: Team Selangor akan melaksanakan projek MySaveFood di lima lokasi bazar Ramadan mulai 31 Mac hingga 13 April depan.
Ketua sekretariatnya berkata program pengumpulan lebihan makanan meliputi Bazar Ramadan Bandar Baru Ampang, Jalan Kebun dan Lembah Subang.
Selain itu, Syahaizel Keman memaklumkan program turut dijayakan di Bazar Ramadan Kampung Sungai Gulang-Gulang 2 serta Restoran Seksyen 4 dan 10, Shah Alam.
“Program ini dianjur bertujuan mengelakkan pembaziran makanan oleh peniaga bazar Ramadan. Konsepnya kita menyelamatkan makanan yang masih elok untuk dimakan.
“Lebihan makanan itu akan diagih kepada golongan memerlukan seperti kariah masjid, pelajar institusi pengajian tinggi, madrasah, rumah anak yatim dan asnaf,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, beliau berkata badan sukarelawan terbabit juga melaksanakan program edaran Kita Selangor sepanjang Ramadan.
“Kita bekerjasama dengan Restoran Cibiuk bagi menjayakan program ini melibatkan agihan 800 makanan masak kepada asnaf di empat kawasan di Selangor,” katanya.