BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Kutipan hasil tertinggi sejak 2018, ekonomi tumbuh lima peratus

Berikut sedutan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Dewan Negeri Selangor yang ke-14 pada 13 Mac 2023.

—————————————————————————————————————————————————————————–

Langkah berwawasan pentadbiran yang diterajui Yang Amat Berhormat Memanda Dato’ Menteri Besar dalam membangun rancangan pembangunan lima tahun iaitu Rancangan Selangor Pertama (RS-1) telah memacu pertumbuhan ekonomi Selangor dan memastikan Selangor terus kekal mengukuh sebagai pusat pertumbuhan utama ekonomi mampan di Malaysia dan rantau Asia.

RS-1 memberikan tumpuan khusus kepada pelaksanaan strategi-strategi berimpak tinggi untuk jangka masa pendek dan sederhana melalui tadbir urus efisien dan berkesan dengan menyediakan ekosistem yang kondusif.

Beta ingin menzahirkan rasa syukur dengan prestasi kewangan semasa Kerajaan Beta.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Ke-14 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beta dimaklumkan 2022 adalah tahun yang cemerlang bagi Negeri Selangor apabila mencatat jumlah kutipan hasil tertinggi dalam tempoh enam tahun dan turut mencatatkan sumbangan terbesar kepada KDNK Malaysia, iaitu 24.8 peratus.

Kutipan hasil Negeri pada 2022 telah merekodkan angka sebanyak RM2.533 bilion, melebihi sasaran awal iaitu RM 2.05 bilion dan lebih tinggi berbanding angka kutipan yang direkodkan tahun 2021 iaitu sebanyak RM2.284 bilion.

Beta turut berbangga apabila pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2021 mencatat angka 5.0 peratus mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional pada 3.1 peratus.

Beta menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran pimpinan memanda Dato’ Menteri Besar yang berjaya mengemudi negeri ini dengan semangat ‘Kita Selangor’ dalam menghadapi krisis kesihatan, krisis ekonomi dan krisis politik.

Beta harap usaha ini dapat diteruskan di masa hadapan demi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Pelaburan rancak

Pencapaian semasa ekonomi negeri diharap akan dapat mendorong lebih ramai pelabur untuk meneroka potensi di negeri ini.

Kerajaan Beta perlu sentiasa memainkan peranan sebagai pemudahcara kepada pelabur bagi menarik minat mereka melabur di Negeri Selangor.

Pengujung mendengar penerangan kakitangan Bermaz Auto Berhad berkaitan penyelengaraan kenderaan elektrik ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beta mengambil maklum prestasi pelaburan bagi tempoh Januari hingga September 2022, Negeri Selangor telah merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM9.7 bilion dengan 199 projek perkilangan yang diluluskan.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM3.58 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM6.12 bilion daripada pelaburan asing.

Sebanyak 11,601 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan melalui projek-projek perkilangan yang diluluskan di Selangor.

Inisiatif dan pelbagai insentif Kerajaan Beta di bawah projek Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS), Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG), Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), galakan pembukaan kawasan perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP), Pameran Perdagangan Selangor (SIBS) dan Program Pameran Selangor Aviation Show (SAS) dilihat akan dapat merancakkan lagi pelaburan ke negeri ini.

Orang ramai melihat model konsep awal pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di pusat beli belah SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beta mengambil maklum usaha Kerajaan Beta melalui MBI yang sedang giat membangunkan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bagi kegunaan rakyat Beta.

Keputusan ini diambil setelah melalui proses penilaian dan pertimbangan yang panjang menentukan bahawa membangun kompleks sukan yang baharu adalah lebih baik daripada baik pulih stadium sahaja.

Beta difahamkan kawasan pembangunan KSSA ini masih lagi kekal sebagai pusat fasiliti sukan dan rekreasi awam.

Beta berharap proses pembinaan KSSA ini dapat dilaksanakan dengan segera secara teratur dan telus, menepati masa, kos serta kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat sewajarnya kepada Rakyat Beta.

Beta yakin KSSA ini dapat menjadi pemangkin kepada era baharu kegemilangan pasukan bola sepak Merah Kuning dan menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Negeri Selangor.

Formasi Batu Kapur Kuala Lumpur Anak Takun merupakan salah satu geotapak bagi Geotaman Gombak-Hulu Langat (GHL) dikenali sebagai Bukit Anak Takun yang terletak di Templer Park, Rawang dan mempunyai nilai warisan saintifik, rekreasi, estetik dan budaya. Foto Facebook Gombak-Hulu Langat Geopark

Beta juga ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Beta di atas pengiktirafan sebagai penerima Geopark Kebangsaan yang pertama bagi projek Gombak Hulu Langat Geopark.

Projek ini melibatkan 20 geo-tapak di daerah Gombak dan Hulu Langat merangkumi 112,955 kilometer persegi yang mempunyai kepentingan geologi selain terdapatnya kuarza terpanjang di Asia Tenggara, landskap pergunungan serta pembentukan beberapa lembangan daratan.

Pengiktirafan Geopark akan memperkukuhkan komitmen kerajaan Beta dalam usaha untuk memelihara alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat dan seterusnya menyokong usaha ke arah pencapaian Sustainable Development Goals dan mencapai usaha memelihara warisan geologi, budaya dan biologi sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh di Malaysia.

Beta amat berharap Negeri Selangor akan menjadi negeri yang lestari dan hijau, selari dengan pelbagai teknologi pembangunan yang menyokong penjagaan alam sekitar.

Kemerosotan alam sekitar dan kesannya kepada hidupan flora dan fauna serta impaknya kepada kesejahteraan rakyat tidak boleh lagi dipandang remeh.

Pemerkasaan undang-undang alam sekitar dan aktiviti penguatkuasaan perlu terus dilaksanakan secara bersepadu dan komprehensif.

Beta ingin yakinkan para penguatkuasa agar tidak gentar dan tunduk kepada sebarang ancaman di dalam mengambil tindakan kepada pesalah undang-undang.

Penolong Pegawai Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Mohd Hadzmer Sanuddin memegang akar pokok pepanjat yang mengelilingi pokok tempinis di hutan simpan Ampang Pechah. Nama sainsnya ‘Streblus elongatus’, tempinis sejenis pohon sederhana yang boleh tumbuh setinggi 30 meter pada 14 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam konteks yang lebih besar, penjagaan hutan yang efisien dengan teknologi baharu saling terkait dengan penjagaan alam sekitar.

Beta menyambut baik program penanaman 26 juta pokok Negeri Selangor bagi tempoh 2022 hingga 2026 yang telah dilancarkan oleh Raja Muda Selangor sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor pada 24 September 2022 di Hutan Simpan Bukit Broga, Semenyih.

 

 


Pengarang :