Pendaftaran ahli baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja meningkat sebanyak 57 peratus kepada 146,000 orang pada suku pertama 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KWSP umum dividen simpanan kovensional 5.35 peratus, syariah 4.75

SHAH ALAM, 4 MAC: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.35 peratus untuk simpanan konvensional bagi 2022 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM45.44 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut mengumumkan dividen 4.75 peratus untuk simpanan shariah dengan jumlah pembayaran sebanyak RM5.70 bilion.

Ini menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk 2022 sebanyak RM51.14 bilion.

Amir Hamzah berkata pulangan yang kompetitif ini sebahagian besarnya dipacu oleh strategi KWSP yang menekankan kepada kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP.

“Portfolio KWSP yang pelbagai dan kecairan yang sihat membantu mengurangkan risiko dan membolehkannya untuk mengekalkan aset pelaburan melebihi RM1 trilion dan mengisytiharkan kadar dividen yang baik untuk 2022.

“Pembayaran sebanyak RM51.14 bilion ini akan memanfaatkan lebih daripada 15 juta ahli KWSP, termasuk ahli daripada sektor tidak formal yang berdaftar dengan i-Saraan, iaitu sebuah program caruman sukarela berasaskan insentif,” katanya dalam taklimat media mengenai prestasi kewangan KWSP pada 2022 hari ini.-  BERNAMA


Pengarang :