Pemandangan Pusat Bandar Cyberjaya. Foto Facebook Cyberjaya City Centre
AGENDANASIONAL

Ladang solar terapung lonjak potensi Cyberjaya sebagai bandar pintar berteknologi hijau

SHAH ALAM, 14 MAC: Kewujudan ladang solar terapung di Tasik Cyberjaya bakal meningkatkan nilai estetika dan kebolehdiaman bandar pintar itu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan yang unik dan pintar dalam pembangunan tenaga solar oleh Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) turut meningkatkan jenama serta reputasi Cyberjaya.

Inisiatif itu juga katanya, mampu menjadikan bandar berkenaan sebagai pusat perniagaan digital yang menawarkan solusi tenaga hijau yang boleh dipercayai dan stabil.

“Ia seterusnya akan menarik minat pelabur dan perniagaan yang komited dengan aspek kelestarian.

“Saya amat menghargai inisiatif yang ditunjukkan oleh Worldwide Holdings dan syarikat-syarikat berkaitan untuk membangunkan dan memanfaatkan solusi tenaga hijau di Cyberjaya, menerusi penjanaan kuasa dari ladang solar terapung yang bakal dibangunkan di Tasik Cyberjaya,” katanya dalam teks ucapan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kassim. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Teks ucapan itu dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Haris Kasim pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk pembangunan tenaga solar di Selangor antara Worldwide Holdings dengan beberapa syarikat di Glenmarie Hotel and Golf Resort di sini semalam.

Terdahulu, Worldwide Holdings memeterai empat MoU bersama beberapa syarikat bagi membuka jalinan kerjasama dalam pembangunan projek tenaga solar di Selangor.

Dua MoU yang ditandatangani Worldwide Holdings dengan Cyberview Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor, Global Energy Storage Malaysia dan PKNS Real Estate Sdn Bhd membabitkan pembangunan loji janakuasa bebas yang bakal menjana tenaga daripada ladang solar terapung di tasik Cyberjaya.

Pembangunan projek loji janakuasa bebas yang bakal menjana tenaga daripada ladang solar terapung di tasik Cyberjaya itu adalah di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dengan kos kira-kira RM100 juta dijangka bermula tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim (kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah Worldwide Holdings Berhad, Datuk Azmi Mohd Ali (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Projek Penjanaan Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui Terkini Kelolaan Kumpulan Worldwide Holdings Berhad di Shah Alam pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :