PERSONALITIRENCANA

Lah Ahmad akui selesa genre nasyid

Oleh Intan Syuhada Akhir

Takdir penyanyi Lah Ahmad berubah selepas berundur daripada kumpulan Voices of Euphonious (V.E) pada 2007 dan bergerak solo.

Meski lagu-lagunya menjadi siulan ramai dan menjadi rebutan penganjur program untuk persembahan, beliau tidak terlepas melalui zaman sukar terutamanya sekitar 2013.

Pada waktu itu, pemilik nama sebenar Abdullah Ahmad ini hanya memperoleh RM100 untuk sebuah persembahan dan ditawarkan dua persembahan dalam tempoh setahun.

“Waktu itu pun, duit RM100 saya bahagi dua dengan pengurus saya. Maksudnya saya dapat RM60 dan dia bawa pulang RM40.

“Bayangkan, duit minyak pun tak lepas. Saya sempat juga merasa bawa cakera padat yang ada muzik semasa buat persembahan. Sayalah yang pasang sendiri dan naik ke pentas untuk bernyanyi,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Mengakui beliau hampir putus asa dengan industri muzik ketika itu, Lah Ahmad tetap bersyukur kerana isterinya, Yasrina Yusoff sangat memahami keadaan dirinya dan bekerja bagi membantu keluarga.

“Jika kamu tanya macam mana saya boleh bertahan dalam keadaan itu, saya pun tak tahu. Tapi saya sangat bersyukur kerana isteri saya bekerja dan dialah yang banyak bantu keluarga ketika itu.

“Saya di rumah menguruskan anak-anak. Kerjaya sebagai penyanyi kadang ada persembahan, kadang tidak. Alhamdulillah dia faham situasi saya,” katanya.

Sinar baharu

Lah mula mendekati majlis ilmu dan bergaul bersama pelajar dan guru tahfiz pada sekitar 2011.

Ketika itulah beliau mula aktif dengan kumpulan al-Mawleed yang dianggotai beberapa artis lain seperti Azzan Addin (Rabbani), Pot Amir (Innuendo), Zaf (V.E), dan Amer (Ruffedge) menyanyikan lagu selawat di masjid dan majlis keramaian.

Lah Ahmad bersama kumpulan nasyid In-team, Aina Abdul dan Shazee ketika konsert 25 Years Lah Ahmad Live In Concert pada Januari 2023. Foto Facebook Lah Ahmad

Walau jauh hati dengan industri hiburan, Lah masih menghasilkan muzik dan memberikan demo lagu-lagunya kepada kumpulan nasyid In-team.

“Setelah lagu tersebut sampai kepada In-team, mereka berpendapat lagu berkenaan lebih sesuai dinyanyikan saya sendiri. Merekalah (In-team) yang banyak bagi semangat.

“In-team yakinkan saya bahawa kelompok nasyid ini berbeza. Pasti ada yang menghargai dan membeli karya saya. Pendek kata, In-team menjadi penyebab saya meneruskan kerjaya saya,” katanya.

Kompas karier Lah terus berubah sejak bersama penggiat muzik nasyid. Kini pelantun lagu Kau Tercipta itu enggan mengejar populariti atau menjadi artis paling dicari. Segala karya yang dihasilkan bertujuan untuk meraih keberkatan Allah SWT dan memberi makan kepada keluarga.

“Saya inginkan sesuatu yang berkat, berterusan, lama dan berpanjangan. Tiada lagi perasaan untuk menjadi terkenal atau tular.

“Saya sudah pernah rasa dahulu berada di atas, juga sudah pernah rasa ketika Allah tarik semua nikmat dalam sekelip mata,” tambahnya.

Lah Ahmad (tengah) bergambar bersama kru yang menjayakan konsert 25 Years Lah Ahmad Live In Concert pada Januari 2023. Foto Facebook Lah Ahmad

Lah mendedahkan beliau kini banyak menerima tawaran membuat persembahan di majlis perkahwinan. Katanya meraikan pasangan mempelai menjadi pekerjaan yang seronok dan mendamaikan dirinya.

“Dahulu kalau pergi majlis anugerah, orang akan pandang kita atas bawah. Mereka hendak tengok kita pakai baju pereka fesyen yang mana.

“Tetapi di majlis kahwin, tiada perkara sebegitu. Semua ingin meraikan pasangan pengantin dan tak kisah tentang kita. Saya rasa seronok, mungkin ada berkatnya di situ,” dedahnya.

Mengulas lanjut, Lah berkata, selepas konsert 25 Years Lah Ahmad Live In Concert yang diadakan pada Januari lalu, penyanyi itu turut melancarkan album terbaharunya berjudul Jatuh yang boleh didengari di semua platform penstriman muzik.


Pengarang :