Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing R Rajiv meninjau laluan pejalan kaki dan rekreasi Sungai Penchala di Seksyen 14 Petaling Jaya yang dibuka kepada orang ramai mulai 9 Mac 2023. Foto Facebook R Rajiv
ADNSELANGOR

Laluan Sungai Penchala di Seksyen 14 dibuka untuk riadah, saji pemandangan tenang

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Laluan pejalan kaki dan rekreasi denai Sungai Penchala di Seksyen 14 Petaling Jaya dibuka kepada orang ramai hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing berkata laluan sepanjang 700 meter di tepi Sungai Penchala itu dinaik taraf Julai 2022 sebelum siap sepenuhnya penghujung Februari lalu.

“Laluan ini menghubungkan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Asia Jaya ke pusat komersial Seksyen 19, Petaling Jaya.

“Pembinaan (laluan) ini memberikan pemandangan yang tenang serta meningkatkan kesalinghubungan bagi pengguna pengangkutan awam,” kata R Rajiv ketika dihubungi hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing R Rajiv meninjau laluan pejalan kaki dan rekreasi Sungai Penchala di Seksyen 14 Petaling Jaya yang dibuka kepada orang ramai mulai 9 Mac 2023. Foto Facebook R Rajiv

Projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor itu juga merupakan projek pertama seumpamanya melibatkan implikasi kos RM409,000.

Rajiv berkata projek laluan pejalan kaki itu adalah salah satu daripada sasaran projek utama DUN Bukit Gasing yang bertujuan meningkatkan kemudahan laluan pejalan kaki dan pengguna basikal.

“Saya berharap pada masa akan datang, laluan ini dapat menghubungkan Sungai Penchala dari Damansara Intan di Seksyen 19 ke Millennium Square di Seksyen 14, Petaling Jaya,” katanya.

Pagi tadi Rajiv bersama Timbalan Jurutera Daerah, JPS Selangor, Ezman Embok Zrik meninjau laluan berkenaan.


Pengarang :