Interceptor berfungsi dangan cara memanfaatkan arus sungai bagi memerangkap sampah sarap terapung di Sungai Klang. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Landasan Lumayan jawab isu bangunkan Sungai Klang RM700 juta

Maklum balas kepada artikel media mengenai projek tebatan banjir bernilai RM700 juta untuk Sungai Klang daripada Encik Syaiful Azmen Nordin, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd yang dikeluarkan pada 1 Mac 2023.

SHAH ALAM, 1 MAC: Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang teruk tercemar.

Pada tahun 2018, syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), sebuah anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), telah dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi merancang dan mengurus pelaksanaan projek.

Selain daripada usaha pembersihan, LLSB juga mengenalpasti tanah – tanah milik Kerajaan Negeri yang berpotensi untuk dibangunkan supaya hasil pembangunan dapat dimanfaatkan ke atas usaha-usaha pembersihan dan pemuliharaan.

Pada tahun 2019, proses Request For Proposal (RFP) bagi tanah – tanah yang telah dikenalpasti telah dilaksanakan di mana sebanyak 98 syarikat telah dijemput, namun begitu, tiada syarikat yang berminat dan menepati kriteria yang telah ditetapkan memandangkan keadaan tanah yang memerlukan kos pemulihan dan infrastruktur yang tinggi.

Susulan daripada itu, LLSB telah menerima cadangan daripada Berjaya Land Berhad untuk menjalin kerjasama strategik bagi membangunkan Sungai Klang secara holistik yang bukan sahaja melihat kepada pembangunan hartanah tetapi juga usaha – usaha pembersihan dan pemuliharaan.

Dengan terjalinnya kerjasama tersebut, satu syarikat bertujuan khas telah ditubuhkan pada 23 Disember 2020 iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd dengan pegangan saham sebanyak 55 peratus oleh Berjaya Hartanah Berhad dan 45 peratus oleh LLSB.

Kerjasama strategik dengan Berjaya Land Berhad telah memperolehi kelulusan di peringkat Ahli Lembaga Pengarah LLSB, MBI dan seterusnya diangkat ke peringkat Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan kelulusan akhir di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Berikutan kejadian banjir besar yang berlaku pada Disember 2021, LLSB telah mengangkat satu kertas cadangan kepada Kerajaan Negeri berhubung projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang bagi menangani isu pencemaran dan banjir.

Setelah melalui sesi libat urus dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak perunding, anggaran keseluruhan kos projek adalah bernilai RM700 juta meliputi keseluruhan kerja pendalaman dan pelebaran Sungai Klang sepanjang 56km untuk tempoh lima (5) tahun dilaksanakan secara berperingkat.

Pada ketika ini, kerja-kerja pendalaman yang telah dimulakan pada 1 November 2022 dengan tumpuan di kawasan – kawasan kritikal iaitu di Kampung Bukit Lanchong sehingga ke Taman Sri Muda, Shah Alam dan juga di muara sungai dengan anggaran kos sebanyak RM249 juta.

Jumlah ini akan dibiayai melalui tanggungan premium tanah – tanah yang bakal dibangunkan berjumlah RM117 juta, tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh MBI. Setakat ini, tiada sebarang suntikan tunai daripada Kerajaan Negeri seperti yang didakwa.

Kedudukan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dan YB Izham Hashim adalah bagi mewakili kepentingan Kerajaan Negeri agar projek ini dapat dilaksanakan secara telus, teratur dan menepati matlamat Kerajaan Negeri.


Pengarang :