EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 20,000 penjaja daftar PLATS, lengkapi agenda pendigitalan negeri

SHAH ALAM, 16 MAC: Lebih 20,000 penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan Platform Selangor (PLATS) untuk mengembangkan perniagaan serta meluaskan capaian pasaran.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata platform secara maya itu salah satu usaha negeri untuk melengkapkan agenda pendigitalan dan bukan pesaing kepada sektor swasta.

“Kerjasama dengan pihak berkepentingan dapat membantu golongan sasar mengadaptasi ekonomi digital seperti transaksi tanpa tunai dan p-hailing (Foodpanda, Grab Food),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Rodziah berkata Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) turut berperanan penting dalam melaksana transformasi digital melalui tiga sektor utama.

Jelasnya, sektor tersebut meliputi e-dagang, permulaan dan pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mula dilaksanakan di beberapa daerah di Selangor.

“Ia termasuk e-dagang, penghantaran makanan dan barangan serta pembayaran tanpa tunai melalui Jelajah Usahawan Digital Selangor,” katanya.

PLATS diperkenal pada 2020 bagi melengkapkan ekosistem agenda pendigitalan Selangor susulan penularan Covid-19 dan ditambah baik bagi memastikan peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.

 


Pengarang :