EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tiga, kanan) diiringi Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey (dua, kanan) melihat menu Rahmah yang ditawarkan Cafe Central, Seksyen 14 Shah Alam pada 3 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 300 restoran, kedai makan di Selangor tawar Menu Rahmah

SHAH ALAM, 3 MAC: Lebih 300 restoran dan kedai makan di Selangor mendaftar bagi menawarkan Menu Rahmah sejak dilancar pada 31 Januari lalu.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Selangor berkata 200 premis telah pun menawarkan menu tersebut manakala selebihnya dalam masa terdekat.

“Selangor merupakan negeri paling tinggi peniaga mahu menawarkan Menu Rahmah. Biarpun menu ditawarkan RM5 tetapi ramai berminat untuk membantu masyarakat.

“Namun, data ini masih belum menyeluruh dan meningkat dari semasa ke semasa berikutan lebih ramai peniaga akan menyertainya,” kata Mohd Zuhairi Mat Radey.

Beliau ditemui pada pelancaran program Menu Rahmah peringkat negeri oleh EXCO Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni di Kafe Sentral, Seksyen 14 dan Restoran Deli Thai, Seksyen 7 di sini hari ini.

Menu Rahmah yang ditawarkan Restoran Deli Thai Seksyen 7 Shah Alam pada 3 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Tambah Mohd Zuhairi, pihaknya akan menjalankan pemantauan setiap hari bagi memastikan hidangan itu berkhasiat dan berkualiti mengikut ketetapan.

Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata rakyat kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara mulai 31 Januari melalui program Menu Rahmah.

Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kementeriannya bersifat terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu menggunakan jenama Rahmah asalkan ia bertujuan membantu rakyat dan pihak yang menyediakan menu Rahmah dengan menawarkan harga serendah RM5 perlu memastikan kualiti makanan dijual.


Pengarang :