SHAH ALAM, 7 MAC: Lebih 400 individu menyertai Majlis Ihya’ Nisfu Syaaban di Dewan Megawati, kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini malam ini.
Tengku Puteri Datin Paduka Hajjah Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz berkenan mencemar duli ke majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) itu.
Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad turut menyerikan majlis yang dimulai dengan bacaan surah al-Waqiah diikuti zikir Wirdul Latif.
Majlis diteruskan dengan jamuan berbuka puasa, solat Maghrib, solat sunat hajat, bacaan surah yasin dan diakhiri dengan solat Isyak.
Turut hadir anak-anak pusat perlindungan Rumah Puteri Arafiah.
