Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 29 Sept 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 5,000 kes kesalahan seksual kanak-kanak dilapor sejak 2018

SHAH ALAM, 23 MAC: Sebanyak 5,519 kes dilapor dibawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) sejak 2018 hingga Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dalam tempoh sama sebanyak 3,060 kes telah dihadapkan ke mahkamah manakala 4,713 kes telah selesai.

“Secara amnya, penggubalan Akta 792 adalah langkah yang sangat baik untuk bantu pihak polis dan pendakwa raya dalam rangka pendakwaan khusus.

“Ia juga memberi perlindungan yang lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak, berbanding undang-undang jenayah am yang terpakai kepada orang dewasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang mahu mengetahui jumlah kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak sejak Akta 792 dikuat kuasa.

Azalina menambah kerajaan bercadang membuat beberapa pindaan kepada Akta 792 bagi menambah baik peruntukan sedia ada, termasuk Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.

Jelasnya, menerusi pindaan itu kanak-kanak akan dibenarkan memberi keterangan dalam bentuk rakaman video dan tidak perlu menghadiri sesi perbicaraan mahkamah.

“Ia sekali gus akan memastikan kanak-kanak itu dapat memberi keterangan dengan lebih tenang, lancar dan selesa,” katanya.


Pengarang :