EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berucap sempena pembukaan mesyuarat Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Ke-14 di Dewan Negeri Selangor (DNS), Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lebih 87,000 daftar program kesihatan mental setakat Februari, majoriti belia dan wanita

SHAH ALAM, 14 MAC: Seramai 87,877 pengguna berdaftar dalam Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) setakat  Februari sejak dilancar 30 Ogos tahun lepas.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata data aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) menunjukkan majoriti pengguna dalam kalangan belia dan wanita.

“Kerajaan Negeri memperkenalkan program kesihatan mental pada 2019 bertujuan membantu golongan yang menghadapi masalah tersebut melalui program advokasi kesedaran dan latihan kepada kaunselor dan barisan hadapan.

“Program ini kemudiannya ditambahbaik kepada SEHAT bermula 2021 melalui fungsi khusus dalam aplikasi SELangkah merangkumi ujian saringan awal kesihatan mental, intervensi awal melalui video pendidikan kesihatan mental dan talian psikososial bagi individu berhubung dengan kaunselor bertauliah,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berhubung bilangan pengguna SEHAT dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Siti Mariah berkata ujian saringan risiko juga mendapati 42 peratus pengguna yang berdaftar tiada risiko manakala selebihnya berisiko.

“Individu yang mempunyai risiko disalurkan kepada talian SEHAT dan program subsidi psikiatri SEHAT,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata ujian saringan skala jangkaan tekanan (PSS-10) mengesan 22 peratus pengguna pada tahap normal, 65 peratus (sederhana) dan baki kadar tekanan tinggi.

“Ujian kemurungan, kebimbangan dan tekanan (DASS-21) pula menunjukkan 51 peratus pengguna ada kadar tekanan tinggi, kemurungan teruk (35 peratus) dan kadar keresahan teruk (57 peratus),” katanya lagi.


Pengarang :