Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lebih 900 pesakit tibi terima bantuan RM800

SHAH ALAM, 24 MAC: Seramai 903 pesakit tuberculosis (tibi) di negeri ini menerima bantuan RM800 sepanjang tahun lalu bagi menggalakkan mereka melengkapkan rawatan.

EXCO Hal Ehwal Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan insentif tersebut diberi secara berperingkat sepanjang rawatan bagi meringankan beban kos yang ditanggung pesakit.

Beliau berkata kemudahan itu layak dimohon mana-mana pesakit bermautautin di Selangor yang sedang dirawat di hospital dan klinik kesihatan serta pusat perubatan swasta sekitar Lembah Klang.

“Sedikit sebanyak dapat meringankan beban kos rawatan yang ditanggung selain memastikan pesakit melengkapkan semua sesi rawatan di hospital,” katanya di Facebook.

Sejak 2020, Kerajaan Negeri mewujudkan insentif kewangan khas untuk pesakit tibi melalui peruntukan RM2 juta.

Bantuan RM200 dihulur pada dua bulan pertama diikuti dua bulan seterusnya (RM200) dan rawatan akhir (RM400).

Menggesa mana-mana individu atau ahli keluarga yang menghidap tibi memohon insentif itu, Dr Siti Mariah menambah penyakit berkenaan boleh dirawat, bahkan dijauhi.

“Pesakit yang berdisiplin dalam mengikuti nasihat dan rawatan doktor, tidak mustahil untuk komuniti maju ke arah era tanpa tibi.

“Pastikan insan tersayang terpelihara daripada bahaya penyakit tibi dan dapatkan rawatan segera sekiranya ahli keluarga anda bergejala,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari pautan www.selangorprihatin.com/insentifrawatantibi atau hubungi pusat panggilan 24 jam menerusi talian 1800-22-6600.

 


Pengarang :