Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (dua, kiri) meninjau lampu isyarat baru di persimpangan USJ-3A, Persiaran Setia, Subang Jaya pada 18 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih RM140,000 dibelanja bina lampu isyarat di USJ 3A, elak kemalangan

SUBANG JAYA, 19 MAC : Sebanyak RM141,215 dibelanjakan untuk memasang lampu isyarat di persimpangan USJ 3A, Persiaran Setia, Subang Jaya di sini.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata penyediaan kemudahan itu mengguna peruntukan sepenuhnya daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah) ketika sidang media penyelesaian isu keselamatan persimpangan USJ-3A, Persiaran Setia, Subang Jaya pada 18 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Terima kasih kepada MBSJ kerana meluluskan peruntukan pembinaan lampu isyarat ini yang sudah sekian lama kita mohon susulan banyak kemalangan berlaku.

“Lampu isyarat ini mula dibina Disember tahun lalu dan siap Februari. Saya berharap isu kemalangan dapat dikurangkan dan penduduk juga berasa lebih selamat,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas meninjau kemudahan berkenaan di sini semalam, Michelle menjelaskan pihaknya memohon pembinaan lampu isyarat di kawasan berkenaan sejak 2019 namun terdapat beberapa kekangan susulan pandemik Covid-19.

“Syukur akhirnya terlaksana dan ia memanfaatkan kira-kira 335 keluarga di perumahan USJ 3A ini. Disebabkan lampu isyarat ini masih baharu, kita harap orang awam yang lalu lalang di kawasan ini dapat membiasakan diri ketika memandu,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk USJ-3A Anwar Zaihan ketika sidang media penyelesaian isu keselamatan persimpangan USJ-3A, Persiaran Setia, Subang Jaya pada 18 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk USJ 3A Anwar Zaihan menarik nafas lega apabila MBSJ membina lampu isyarat dan berharap kemalangan di kawasan itu dapat dielakkan.

“Dalam tempoh dua tahun kira-kira lebih 10 kemalangan berlaku dan satu insiden meragut nyawa pada tahun lalu. Terima kasih kepada Yang Berhormat Michelle mendengar suara kami,” katanya.

Penduduk USJ-3A, Cheah TS ketika sidang media penyelesaian isu keselamatan persimpangan USJ-3A, Persiaran Setia, Subang Jaya pada 18 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Manakala, penduduk USJ 3A Cheah TS berkata hampir 10 tahun kawasan itu tiada lampu isyarat dan keadaan semakin bahaya apabila kenderaan lalu lalang di kawasan berkenaan semakin banyak.

“Pembinaan lampu isyarat di sini amat diperlukan kerana jumlah kenderaan lalu lalang sudah semakin banyak. Mungkin buat masa ini ramai tidak perasan tetapi saya yakin lama-kelamaan orang akan biasa dan cuba memperlahankan kenderaan,” katanya.


Pengarang :