Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen pada 24 Februari 2023. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Legakan beban B40, pulih ekonomi antara cabaran 100 hari pentadbiran PM

OLEH ALANG BENDAHARA

SHAH ALAM, 6 MAC: Kelembapan ekonomi pascapandemik, hutang negara tinggi dan kenaikan kos sara hidup merupakan cabaran utama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu diatasi dalam 100 hari selepas menjadi perdana menteri pada 24 November 2022.

Tanda positif ekonomi muncul pada hari pelantikannya apabila indeks Bursa Malaysia melonjak ke paras tinggi melepasi paras 1,500 mata, menyaksikan ia ditutup pada 1,501.88 mata, naik 58.38 mata.

Ia merupakan paras tertinggi dicatat petunjuk pasaran bursa pada penutup sejak 30 Ogos 2022 iaitu 1,512.050 mata. Sementara itu, ringgit meningkat sebanyak 1.8 peratus ke paras tertingginya dalam tempoh dua bulan berbanding dolar Amerika Syarikat pada hari yang sama.

Pernah bertugas sebagai menteri kewangan antara 1990 hingga 1998, anak kelahiran Bukit Mertajam itu menyedari beliau harus mengurus hutang negara sebanyak RM1.2 trilion sebaik sahaja mengambil alih Putrajaya.

Antara langkah awalnya ialah tidak mengambil gaji sebagai perdana menteri dan menteri kewangan. Malah memotong gaji menteri kabinet 20 peratus sehingga ekonomi negara kembali pulih, serta mengarahkan penjimatan di semua kementerian dan jabatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 19 Disember 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau juga mengumumkan bantuan khas RM10 juta daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada 150,000 pesawah miskin tahun lepas dan sebanyak RM50 juta pada 2023 hasil perbincangan bersama pemilik Bernas Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Kerajaan juga memberi peruntukan segera RM50 juta masing-masing untuk Kelantan dan Terengganu, bagi meringankan beban rakyat akibat bencana Monsun Timur Laut.

Ia melibatkan peruntukan awal RM1,000 kepada semua keluarga terlibat dan sekiranya ada kemalangan, peruntukan RM10,000 bagi mangsa tersebut.

Selain itu, beliau menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan dianggotai lima profesional dan pakar ekonomi. Diketuai penasihat Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, mereka juga tidak menerima bayaran daripada kerajaan.

Mesyuarat hari minggu

Tiga hari selepas mengangkat sumpah, Anwar pada cuti hujung minggu 27 November memanggil pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan mempengerusikan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Dalam tempoh 100 hari, Anwar juga mengumumkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik serta pengusaha mikro, kecil dan sederhana.

Lantaran terlalu suntuk menyusun belanjawan penuh, pada 20 Disember 2022 Anwar segera membentangkan bajet mini 2023 bagi meneruskan perkhidmatan kerajaan pada 2023 dengan nilai RM107.71 bilion.

Murid Sekolah Kebangsaan Ladang menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki kelas bagi memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 21 Mac 2022. Foto BERNAMA

Antara inisiatif dalam bajet mini ialah Bantuan Awal Persekolahan RM150 kepada murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa pada Januari 2023, bayaran tambahan RM200 Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil, tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan bantuan Khas Kewangan RM700 bagi anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah dan RM350 kepada pesara serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan melalui program MySTEP.

Ahli Parlimen Tambun itu membentangkan belanjawan penuh dengan peruntukan RM388.1 bilion pada 24 Februari.

Bagi melegakan tekanan kewangan B40, program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 dilaksana pada 16 Januari. Peruntukan sebanyak RM1.67 billion diagih kepada 8.7 juta penerima membabitkan pemberian wang tunai RM300 kepada empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas tanpa pasangan (RM100), manakala 3.5 juta golongan bujang (RM100).

Pemberian itu diawalkan pada Januari berbanding perancangan pada Mac 2023 bagi meringankan beban sara hidup rakyat.

Perkenal Payung Rahmah

Sementara itu, Anwar turut memperkenalkan konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada inisiatif seperti Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Kafe Rahmah dan Pakej Rahmah untuk membantu rakyat mendepani dampak kos sara hidup.

Sempena Tahun Baharu Cina, kerajaan mengumumkan pengecualian tol untuk semua kenderaan di seluruh negara pada 20 dan 21 Januari 2023.

Aliran trafik menghala ke ibu kota sesak selepas Plaza Tol Gombak berikutan pertambahan jumlah kenderaan warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas bercuti di kampung sempena Hari Raya Aidilfitri di Gombak pada 6 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Inisiatif lain semasa 100 hari pentadbiran Anwar ialah potongan cukai taksiran sebanyak 30 peratus bagi semua kediaman di Putrajaya yang berharga bawah RM300,000; sumbangan RM10,000 kepada mangsa terkorban dan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terlibat dalam bencana tanah runtuh Batang Kali; skim pakej prabayar internet mudah alih Pakej Perpaduan dengan harga RM5 sebulan untuk belia, golongan B40, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan veteran.

Anwar turut menamatkan tender runding terus untuk semua projek termasuk Projek Tebatan Banjir yang menjimatkan RM2 bilion daripada peruntukan RM15 bilion; meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan pengurangan kos RM11.01 bilion daripada jumlah asal; menurunkan cabutan judi daripada 22 kali kepada 8 kali setahun.

 


Pengarang :