Antara laluan terputus di Johor selepas negeri itu dilanda banjir yang menyebabkan seorang lelaki warga tempatan menjadi korban pertama banjir di negeri itu pada 1 Mac 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara
AGENDANASIONAL

Lelaki dalam perjalanan ke tempat kerja maut kereta dibawa arus banjir

KLUANG, 1 MAC: Seorang lelaki warga tempatan menjadi korban pertama banjir di Johor setelah ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta, di Jalan GSA Chamek, Paloh, dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa yang berusia 20an, dipercayai dibawa arus banjir ketika sedang memandu keretanya di lokasi kejadian, kira-kira 7.20 pagi tadi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang kelapa sawit berhampiran.

“Usaha mengesan mangsa terus dilakukan dan pada pukul 12.20 tengah hari, sebuah kereta jenis Toyota Avanza telah ditemui dengan keadaan ditenggelami banjir.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut telah menjumpai seorang lelaki dan didapati telah meninggal dunia. Mayat dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat menafikan terdapat kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus seperti yang didakwa dalam satu video tular di aplikasi TikTok.

”Polis Kontinjen Johor mengesahkan kejadian tidak berlaku di Johor dan dipercayai berlaku di luar negara.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan berita atau mesej palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada masyarakat. Mana-mana pihak yang menyebarkan berita atau mesej palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus itu dipercayai bertarikh 12 Disember 2022, tular di media sosial sejak semalam.

– BERNAMA


Pengarang :