Mesin inovasi ciptaan NGO Belanda Ocean Clean Up, Interceptor berjaya mempercepatkan kerja pembersihan Sungai Klang. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LLSB: Projek dalamkan Sungai Klang dibuat susulan banjir besar 2021

SHAH ALAM, 1 MAC: Projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang yang dianggar bernilai RM700 juta dilaksanakan bagi menangani isu pencemaran air dan banjir besar, jelas Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

Pengarah urusannya berkata syarikat itu, yang ditugaskan memajukan sungai tersebut bawah projek Gerbang Maritim Selangor (SMG), menjalankan kerja sepanjang 56 kilometer secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

“Ketika ini kerja pendalaman dimulakan pada 1 November 2022 dengan tumpuan di kawasan kritikal iaitu Kampung Bukit Lanchong sehingga Taman Sri Muda dan juga di muara sungai dengan anggaran kos RM249 juta.

“Jumlah ini akan dibiayai melalui tanggungan premium tanah – tanah yang bakal dibangunkan berjumlah RM117 juta, tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Setakat ini, projek ini tidak melibatkan sebarang suntikan tunai daripada Kerajaan Negeri seperti yang didakwa,” kata Syaiful Azmen Nordin, mengulas dakwaan mengelirukan di akhbar dan media sosial.

Menurut Syaiful Azmen lagi, anggaran RM700 juta didapati selepas sesi libat urus dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan perunding.

Tambahnya, penyertaan Dato’ Menteri Besar dan EXCO infrastruktur dalam syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB) bertujuan memastikan projek Kerajaan Negeri ini dijalankan secara telus dan teratur.

“Kedudukan Dato’ Seri Amirudin Shari dan YB Ir Izham Hashim adalah mewakili kepentingan Kerajaan Negeri agar projek ini dapat dilaksanakan secara telus, teratur dan menepati matlamat Kerajaan Negeri,” katanya.

Syarikat milik penuh MBI, LLSB dilantik oleh Kerajaan Negeri pada 2018 bagi menjayakan SMG, iaitu projek pemuliharaan dan pembangunan pinggir Sungai Klang.

LLSB bekerjasama dengan Berjaya Hartanah Berhad bagi menubuhkan syarikat bertujuan khas LLB setelah mendapat kelulusan, termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Kerjasama anak syarikat MBI dengan Berjaya Hartanah Berhad dibuat susulan tiada syarikat lain menepati kriteria kerana keadaan tanah dan prasarana yang memakan kos pemulihan yang tinggi.

Tindakan diambil selepas 98 syarikat yang menghantar cadangan melalui Permintaan Untuk Cadangan (RFP) pada 2019 tidak mencapai rancangan pembangunan semula Sungai Klang.

“Susulan daripada itu, LLSB telah menerima cadangan daripada Berjaya Land Berhad untuk menjalin kerjasama strategik untuk membangunkan Sungai Klang secara holistik yang bukan sahaja melihat pembangunan hartanah tetapi usaha – usaha pembersihan dan pemuliharaan,” kata Syaiful Azmen lagi.

Kenyataan penuh Landasan Lumayan: Landasan Lumayan jawab isu bangunkan Sungai Klang RM700 juta


Pengarang :