Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Siswa kepada Mifzal Salihin (dua, kanan) pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2022 di Kementerian Pengajian Tinggi pada 20 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mahasiswa UM dinobat Tokoh Siswa Kebangsaan 2022

PUTRAJAYA, 21 MAC: Mahasiswa Universiti Malaya (UM) Mifzal Salihin mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul Anugerah Menteri Pengajian Tinggi sekali gus dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan sempena Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2022 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Mifzal, 22, pelajar tahun tiga Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, terpilih merangkul anugerah itu hasil penglibatan cemerlang dalam bidang keusahawanan yang memberi manfaat kepada rakan universiti.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mifzal berkata beliau telah mewujudkan kelas tutor secara dalam talian iaitu AfterKelas.com sejak tiga tahun lepas dan sehingga kini, melibatkan penyertaan antara 40 dan 50 mahasiswa UM.

“Mereka ini adalah tutor aktif yang mengajar subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Boleh dianggarkan pendapatan bulanan mereka antara RM1,000 dan RM1,500,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu turut berkongsi cita-cita beliau untuk bergelar usahawan berjaya apabila tamat pengajian.

Mifzal membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta trofi utama, biasiswa dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Terdahulu, ketika ucapan perasmian, Mohamed Khaled berkata anugerah Tokoh Siswa KPT merupakan platform bagi menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dalam pelbagai bidang merangkumi akademik, sahsiah dan kokurikulum.

“Kita mahu mengiktiraf dan memberi galakan kepada mahasiswa yang telah mempamerkan kecemerlangan kepimpinan melalui penglibatan secara langsung dalam pelbagai lapangan pembangunan insaniah,”katanya.

Beliau berkata tanggungjawab KPT adalah selaras dengan hasrat memastikan setiap mahasiswa mendapat pendidikan terbaik daripada tenaga pengajar yang berkualiti.

Katanya pada masa sama, KPT berperanan memberikan segala ruang dan peluang untuk mahasiswa mendapatkan pengalaman hidup yang diperlukan dalam meniti kedewasaan.

– BERNAMA


Pengarang :