Kelihatan sebuah rumah di pinggir sungai langat musnah di Hulu Langat sekitar jam 6.30 petang ketika tinjauan keadaan selepas banjir pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais manfaat sumbangan MAIWP baik pulih rumah asnaf terjejas banjir

SHAH ALAM, 21 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membelanja sebanyak RM1.86 juta bagi membina rumah 20 keluarga asnaf yang terjejas banjir pada Disember 2021.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata kos baik pulih kediaman sekitar Sepang, Klang, Petaling dan Hulu Langat itu merupakan sebahagian sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Agensi menyumbang hampir RM3 juta. Manakala lebihan sebanyak RM1.12 juta diguna untuk membaik pulih asrama serta bangunan lama Pusat Pengajian Pondok Bustanul Ariffin, Kampong Labohan Dagang.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban ditanggung penerima sekali gus membantu mereka membentuk institusi keluarga yang lebih harmoni,” katanya menerusi kenyataan.

Ahmad Shahir berkata pihaknya bertanggungjawab membantu penerima berkenaan seiring dengan hasrat MAIWP yang mahu menolong keluarga susah terbabit.

“Terima kasih kepada MAIWP kerana prihatin dengan mangsa-mangsa negeri ini. Sumbangan kewangan ini sememangnya amat diperlukan golongan asnaf,” katanya.


Pengarang :