Pemilik bersama My Innovative Welness Sdn Bhd Juliza Tupon menunjukan granola dan minuman oat pelbagai perisa jenama Entrusol di ruang pameran Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Makanan berasas bijirin laris di Lembah Klang, sasar pasaran Korea

SHAH ALAM, 31 MAC: Pemakanan tidak sihat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 mencetuskan idea tiga sekawan menjual makanan berasaskan bijirin.

Waktu itu tular tentang keresahan kegemukan (obesiti) dek terperap dalam rumah. Hidangan pula banyak berasaskan gula dan berminyak.

Aktiviti luar terhad menyebabkan ramai berdepan masalah peningkatan berat badan. Lulusan Universiti Putra Malaysia Juliza Tupon pantas menghidu peluang.

Beliau bersama dua rakan sepengajian Nash Mohamad dan Elly Fazira Jamil kemudian mengasaskan minuman bijiran jenama Entrusol dengan menubuh My Innovative Wellness Sdn Bhd.

Juliza berperanan sebagai ketua pegawai pembangunan perniagaan, Nash Mohamad (ketua pegawai eksekutif) dan Elly Fazira (ketua pegawai operasi).

“Wujudnya idea ini sebab masa PKP semua orang duduk rumah. Bila duduk rumah, makan ikut suka hati, tidak jaga.

Pemilik bersama My Innovative Welness Sdn Bhd Juliza Tupon menunjukkan granola dan minuman oat pelbagai perisa jenama Entrusol di ruang pameran Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Dua lagi pengasas bersama ada latar belakang sains biologi. Mereka ambil masa buat kajian menghasilkan produk. Ini menyebabkan kami lebih yakin keluarkan produk ini,” kata pemegang ijazah sarjana kejuruteraan perisian itu.

Bermula modal RM100,000, syarikat tersebut mengeluarkan produk kudapan granola, ‘go nuts’ dan madu kurma dengan pelbagai perisa.

Belajar pemasaran

Cabaran terbesar ialah mengenal pasti pasaran berikutan tanggapan ramai kononnya makanan sihat berasaskan bijirin tidak enak.

Justeru, mereka mengupah agensi pengiklan. Malangnya ia tidak mencapai hasrat yang diingini. Akibatnya, kos operasi syarikat terlalu tinggi sehingga terpaksa menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit.

“Rakyat Malaysia kurang makan bijirin. Jadi kami perlukan pengiklanan yang kuat tetapi malangnya agensi dibayar untuk jalankan iklan di media sosial tidak berkesan. Bayar tetap kena bayar.

“Akhirnya rakan kongsi, Elly belajar teknik pemasaran dalam talian. Bila pandai kami buat sendiri di media sosial. Ia lebih berkesan kerana kita lebih faham dan tahu apa yang perlu disampaikan,” kata Juliza pada 12 Mac.

Masalah itu diatasi dengan Elly mengambil alih tanggungjawab mengiklan di media sosial berbanding mengupah agensi pengiklanan.

Hasilnya, kira-kira 2,500 pek pertama terjual dalam tempoh dua minggu sebelum meningkat kepada 5,000 pada tahun pertama operasi.

Granola dan minuman oat pelbagai perisa jenama Entrusol yang dipamerkan dalam Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Bila PKP semakin longgar pada 2021, kami keluarkan dalam kotak pula. Pengeluaran terus meningkat dan sekarang kami mampu capai kira-kira 35,000 kotak sebulan,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Selain dipasarkan di laman sesawang syarikat, Shopee, Lazada, Facebook, TikTok dan Instagram, produk mereka turut dipasar ke lebih 10 pasar raya, serta pusat perubatan sekitar Lembah Klang.

Mereka juga kerap menyertai pelbagai ekspo untuk meluaskan lagi pasaran termasuk Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac), baru-baru ini.

“Selhac ini lebih kepada perniagaan dengan perniagaan. Kesan yang saya nampak seperti rakan niaga bertambah.

“Rangkaian perniagaan dan peluang tembusi pasaran lebih luas. Kenal lebih banyak syarikat dan kita juga semakin dikenali. Kita dapat rasa potensi perniagaan lebih berkembang dan luas,” katanya.

Bercakap mengenai perancangan masa depan, Juliza berkata usaha menembusi pasaran eksport ke Korea Selatan giat dilakukan.

Beberapa siri pertemuan dengan wakil syarikat pengedar di republik itu diadakan. Juliza turut menyasarkan pasaran di Indonesia, Singapura dan Brunei.


Pengarang :