Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada 15 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia tidak berdepan kegawatan ekonomi tahun ini, jangka berkembang 4.5 peratus

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Kementerian Kewangan menegaskan Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada 2023 meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata takrifan kegawatan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.

“Pada tahun ini, kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus. Ini seiring dengan apa yang telah diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, masing-masing mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.4 peratus dan 4.0 peratus tahun ini.

“Kerajaan akan terus mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan lebih menarik dengan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan setimpal,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah kegawatan ekonomi pada 2023 untuk meminimumkan kesannya kepada rakyat Malaysia.

Bagi menangani kesan kenaikan harga barangan keperluan asas, Sim berkata kerajaan akan terus melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan juga pelbagai insentif dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM64 bilion.

Selain itu katanya kerajaan juga melaksanakan program Menu Rahmah dan Jualan Rahmah di bawah agenda Payung Rahmah, meneruskan program penetapan harga siling serta penyeragaman harga bagi barangan keperluan asas tertentu.

Bagi membina semula Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam tempoh pasca pandemik, Sim berkata kerajaan telah menyediakan dana insentif, potongan cukai, pinjaman dan jaminan pembiayaan dengan peruntukan lebih RM40 bilion.

Melalui pemerkasaan sektor PMKS, secara langsung kita membangunkan ekonomi negara dan secara tidak langsungnya mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan setimpal untuk rakyat.

Beliau berkata selain peruntukan subsidi, kerajaan turut melaksanakan subsidi bersasar dalam bil elektrik bagi 10 peratus pengguna teratas.

– BERNAMA


Pengarang :