Sebuah keluarga terpaksa meredah banjir untuk melihat keadaan kediaman ketika tinjauan di Seri Medan Batu Pahat pada 5 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Batu Pahat berkurang kepada 8,650 orang

JOHOR BAHRU, 20 MAC: Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat berkurang kepada 8,650 orang setakat 4 petang ini, berbanding 10,396 orang yang direkodkan pada 8 pagi tadi susulan penutupan tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS yang ditutup adalah Dewan Orang Ramai Taman Seri Sulong, Sekolah Kebangsaan Seri Bengkal dan Sekolah Agama Sri Bengkal.

“Penutupan PPS tersebut menjadikan keseluruhan 47 PPS yang menempatkan 2,475 keluarga masih beroperasi, setakat ini,” menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Sebanyak tiga sungai di Batu Pahat juga masih berada pada tahap amaran iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok (19.05 meter), Empangan Sembrong di Sungai Sembrong (11.12 m) dan Sungai Senggarang di Senggarang (3.3 m).

Cuaca di lima daerah diramalkan hujan pada petang ini, Kulai pula mendung, manakala Muar, Mersing, Kota Tinggi dan Tangkak diramal cerah.

– BERNAMA


Pengarang :