Lori roro KDEB Waste Management (KDEBWM) menghantar sisa pukal di pusat pengumpulan sisa banjir ketika Misi Bantuan Selangor Penyayang : Bantuan Pembersihan Pasca Banjir Johor Darul Takzim di Chaah Tengah, Segamat, Johor pada 9 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Batu Pahat berkurangan kepada 369 orang petang ini

JOHOR BAHRU, 24 MAC: Keadaan banjir di Batu Pahat semakin pulih selepas jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menurun kepada 369 orang setakat 4 petang ini berbanding 419 orang pada 8 pagi tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) ia berikutan 50 mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan dan Dewan Orang Ramai Yong Peng dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut.

“Keadaan banjir semakin baik, beberapa mangsa dapat pulang dan pembersihan juga telah dilakukan di rumah mereka,” menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

JPBN memaklumkan lima PPS menempatkan 105 keluarga masih beroperasi setakat ini iaitu SK Seri Medan (174 orang), Dewan Orang Ramai Yong Peng (114 orang), Sekolah Agama (SA) Seri Comel (54 orang), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hua Min (21 orang) dan SA Seri Bertam (enam orang).

JPBN turut memaklumkan Sungai Bekok di Empangan Bekok masih berada pada paras amaran dengan bacaan 19.00 meter, manakala cuaca di semua 10 daerah di negeri itu dilaporkan hujan pada petang ini.

– BERNAMA


Pengarang :